AKU CINTA RAMADHAN!
2014- Beberapa hari sebelum Ramadan. Sepasang mata coklat gelap itu sedang meliar mencari seseorang di dapur. Telefon bimbit di tangan digenggam kemas bersama debaran laju di dada. 'Suha. Pergi dapur, beritahu dia dan buat seperti tiada apa yang berlaku. Jangan jadi pengecut!' Cik hati sudah mulai memberi amaran keras. Akhirnya Suha terpaksa melangkah ke dapur dengan sekelumit keberanian yang ada. Aduhai, jantung ini seperti hendak melompat keluar! Masakan tidak, debaran yang dirasai seperti ingin bertemu kekasih hati sahaja. "Ma..." Perlahan nada suara Suha yang memanggil Puan Mama. Bunyi sudip bertemu dengan kuali kedengaran jelas di cuping telinga. Aroma lauk pauk yang sudah terhidang memasuki rongga hidung. "Ya, di sini." Satu suara yang cukup Suha kenali membalas lembut. "Ada apa Kakak?" soal Puan Mama sebaik sahaja wajah Suha menghiasi pandangan. Suha menarik nafas dalam sebelum memberitahu hasratnya. "Kakak nak ...