AKU CINTA RAMADHAN!
2014- Beberapa hari sebelum Ramadan.
Sepasang mata coklat gelap itu sedang meliar mencari seseorang di dapur. Telefon bimbit di tangan digenggam kemas bersama debaran laju di dada. 'Suha. Pergi dapur, beritahu dia dan buat seperti tiada apa yang berlaku. Jangan jadi pengecut!' Cik hati sudah mulai memberi amaran keras. Akhirnya Suha terpaksa melangkah ke dapur dengan sekelumit keberanian yang ada. Aduhai, jantung ini seperti hendak melompat keluar! Masakan tidak, debaran yang dirasai seperti ingin bertemu kekasih hati sahaja.
"Ma..." Perlahan nada suara Suha yang memanggil Puan Mama. Bunyi sudip bertemu dengan kuali kedengaran jelas di cuping telinga. Aroma lauk pauk yang sudah terhidang memasuki rongga hidung.
"Ya, di sini." Satu suara yang cukup Suha kenali membalas lembut.
"Ada apa Kakak?" soal Puan Mama sebaik sahaja wajah Suha menghiasi pandangan.
Suha menarik nafas dalam sebelum memberitahu hasratnya. "Kakak nak beli tudung labuh sekolah. Boleh?" ujar Suha lalu menayang sengih.
Puan Mama menghentikan perbuatan menggaul lauk di dalam kuali. "Kat mana?" soal Puan Mama lagi sambil cuba melihat paparan di skrin telefon bimbit Suha.
"Online. Di instagram."
"Buat apa nak membazir? Tudung masih okey lagi kan? Lagipun dah hujung tahun, membazir saja kalau beli nanti."
Jawapan Puan Mama memudarkan harapan Suha. Betul juga kata wanita itu. Mengapa mahu membazir? Tetapi tudung yang ada tidak mampu menutup auratnya dengan sempurna. Sekali ditiup angin, keberangkalian untuk terlihat auratnya itu tinggi.
"Err... kakak saja nak cuba pakai tudung labuh. Boleh ya?" kata Suha separuh memujuk. Ikutkan hati, mahu saja dia melutup di dapur itu.
"Belilah." balas Puan Mama mengalah. Pening kepalanya dengan kerenah Suha. Aneh juga, mengapa tiba-tiba Suha ingin memakai tudung labuh?
"Yeayyy! Terima kasih ma. Kakak order ya? Hehe..." Kebahagiaan yang dirasai oleh Suha setelah mendapat keizinan Puan Mama tidak dapat diungkap dengan kata-kata. Maka hari ini, bermulalah misi hijrah untuk menjadi muslimah solehah!
*****
AKU CINTA RAMADHAN!
Eh, siapa pula Ramadhan yang aku maksudkan itu? Seorang lelaki kacak yang memakai serban dan berjubah putih kah? Atau kekasih hati yang aku sukai dalam diam? Ah, semestinya tidak!
Ramadhan yang aku cinta, adalah bulan Ramadhan yang lebih baik daripada seribu bulan! Eleh, siapa saja yang tak cintakan Ramadhan? Adakah orang yang tak teruja dengan kehadiran Ramadhan? Kalau ada, pastinya orang itu adalah orang paling rugi di dunia!
Empat tahun lalu, ketika meniti hari untuk menyambut kedatangan Ramadhan, aku kenal apa itu HIJRAH. Ramadhan, bulan di mana aku lebih memahami tujuan aku diciptakan. Aku melalui fasa penghijrahan yang penuh mujahadah pada bulan yang sentiasa ditunggu-tunggu oleh setiap Muslim. Betapa istimewanya Ramadan bagiku.
Kerana, Ramadhan yang membentuk siapa aku hari ini.
Pejam celik pejam celik, tinggal beberapa minggu saja lagi sebelum kedatangan Ramadhan. Apa persediaan yang telah kita lakukan?
Ada orang, dia rajinkan diri berpuasa sunat sebagai latihan apabila tiba bulan puasa nanti. Ada juga golongan manusia yang makan banyak-banyak bila nak dekat Ramadhan. Hahaha. Tipulah kalau ada yang tak pernah buat! Namun, kita sering terlepas pandang akan persediaan rohani. Kita semua tahu bahawa pada bulan Ramadan nanti, jin dan syaitan diikat. Lalu kita sangka mudah untuk berbuat baik kerana tiada lagi godaan dari syaitan yang licik. Tetapi cuba kita ingat semula apa yang berlaku pada Ramadhan yang lalu? Masih ada yang ponteng puasa, tinggal solat, dan derhaka kepada ibu bapa, kan?
Sebenarnya, kita masih perlu struggle untuk melawan hawa nafsu sendiri. Ketiadaan syaitan tidak bermakna kita sudah selamat. Ketahuilah bahawa puasa itu bukan menahan lapar dan dahaga semata-mata. Hawa nafsu juga perlu ditahan daripada bermaharajalela!
Nah, mutaba'ah amal yang aku buatkan untuk kalian. Sebenarnya saja buat untuk diri sendiri(sebab itu nampak senget dan buruk) Tetapi berkongsi itu lebih baik kan? Silakan download, print dan tampal di dinding bilik.
Mutaba'ah amal ini untuk apa? Okey, ia bukan untuk mengira berapa banyak pahala dan ibadah yang kita lakukan, tau. Sebaliknya ia untuk melihat prestasi ibadah kita ketika Ramadhan. Dari situ kita dapat lihat sejauh mana perubahan yang kita lakukan. Ini kerana hijrah itu tidak boleh terus mengubah hidup menjadi lebih baik hanya sekelip mata. Kita perlu mengubah gaya hidup atau habit dahulu sebelum hidup kita berubah. Jadi, mulakan langkah hijrah dengan tidak terlalu perlahan dan tidak terlalu laju. Yang penting istiqamah. Tak mahulah nanti bila dah habis Ramadhan, kita kembali pada maksiat dan tingkah laku yang buruk.
Tajdid niat lillahi taala, okey? Pastikan kalian sudah mempunyai azam untuk dicapai pada bulan Ramadhan nanti. Atau ada yang tahun lepas berpuasa seorang diri tetapi tahun ini ingin berpuasa bersama pasangan. Hahahah aku bergurau :p Tak kisahlah apa azam kalian, yang penting perkara yang baik-baik saja tau.
Itu saja buat masa ini. Assalamualaikum! :)
wahhh, menarik entry ni..:)..done follow akk
ReplyDeleteterima kasih awak :)
Delete