2020: 366 PELUANG
Assalamualaikum wrt.
Alhamdulillah kita sudah memasuki tahun 2020. Umur semakin meningkat, tanggungjawab semakin berat, dunia pula semakin tenat. Bila check tahap Iman, masih lagi sama seperti tahun tahun yang lalu(sayalah tu). Apa yang sudah berjaya kalian capai pada 2019? Pasti banyak, kan? Mungkin ada dua tiga goals yang masih tak tercapai itu biasalah. Saya pun ada satu impian yang masih tak tercapai sejak 3 tahun lalu hahah. Kadang apa yang kita mahu belum tiba masanya untuk jadi milik kita. Teruskan usaha, tiba masa Allah pasti izinkan.
2019 mengajar saya tentang betapa pentingnya pergantungan yang kuat kepada Allah swt. Hanya Dia tempat kita bergantung harap dan memohon bantuan. Dua tahun sebelumnya, saya diuji dengan persahabatan dan perpisahan ibu bapa. Disebabkan itu, saya mempunyai masalah sukar untuk mempercayai orang lain. Saya jadi takut untuk membenarkan orang baru masuk dalam hidup saya kerana saya fikir, mereka pasti akan meninggalkan saya sepertimana ayah meninggalkan puan mama. Kemudian saya mengharapkan 2019 menjadi tahun bertuah buat saya. Saya tidak mahu kehilangan sesiapa. Namun ditakdirkan pada tahun 2019, saya diuji dengan kehilangan seorang sahabat. Kehilangannya menyebabkan saya sangat tertekan. Saya mula menjauhi kawan-kawan yang lain, suka bersendiri, dan semakin takut untuk menjalinkan persahabatan dengan sesiapa. Ia juga menjejaskan ibadah dan pelajaran saya. Saya kerap menyoal Tuhan, "Mengapa Engkau temukan aku dengan dia jika akhirnya persahabatan kami hanya setakat ini?"
Saya takut pada yang namanya perpisahan. Saya tahu setiap yang saya punya adalah milik Allah. Tetapi disebabkan saya terlalu meletakkan harapan yang tinggi pada manusia, saya lemah bila dia pergi dari hidup saya. Saya fikir seolah-olah tanpa dia, saya tak mampu nak teruskan hidup. Alah, macam pasangan tak halal selalu cakap pada kalian, "Saya tak boleh hidup tanpa awak." Hah, itulah yang saya rasakan ketika itu. Saya rasa dunia saya gelap, hati saya hancur, malam saya sentiasa ditemani air mata. Dua tiga bulan perkara itu berlanjutan tanpa ada sesiapa yang memahami saya ketika itu. Ibarat putus cinta saja gayanya. Saya sangat sedih kerana sahabat saya itu adalah antara orang pertama yang saya kenal ketika awal penghijrahan. Hampir lima tahun kami bersahabat tetapi akhirnya semakin menjauh. Sekarang saya sudah meredhai apa yang terjadi. Saya dah lama move on dan menjalani kehidupan seperti biasa. Saya mula hargai sahabat-sahabat yang masih setia di sisi.
Betapa pentingnya kita meletakkan harapan dan pergantungan kepada Allah. Saya percaya Allah tidak akan sesekali mengecewakan saya sepertimana yang manusia lakukan. Kerana hati manusia itu sifatnya berbolak-balik. Sayang jangan terlalu sayang. Cinta jangan berikan sepenuh hati. Kita tak tahu selama mana rasa itu kekal dalam hati. Namun jangan lupa sentiasa berdoa semoga hubungan kita dengan orang yang kita sayang selamanya kekal hingga syurga, bukan setakat di dunia. Okey?
Setiap yang berlaku mengajar saya banyak perkara. Bukan itu saja, saya juga belajar bahawa soal rezeki jangan terlalu difikirkan. Kita tahu bahawa Allah yang memberi kita rezeki. Jadi cukup kita bergantung kepada Dia dan usaha untuk mendapat rezeki. Hidup sebagai seorang pelajar bukanlah mudah. Lagi pula saya bukan dari keluarga yang berada. Dapat sambung belajar pun alhamdulillah ada pihak lain taja. Tapi tetap saja kadang kala tak cukup makan, duit simpanan habis digunakan, perniagaan sampingan tak menjadi. Ketika itu saya benar-benar buntu. Apa lagi saya perlu buat untuk dapatkan duit lebih? Jadi saya tak perlu minta duit belanja dari ibu bapa.
Tetapi satu perkara saya tidak sedar setelah sekian lama - Allah sentiasa mendengar doa saya.
Ketika saya susah hati bila dalam dompet cuma ada RM5, saya pilih untuk sedekah RM1 kepada yang lebih memerlukan. Sejujurnya, saya berbelah bahagi. Nak sedekah atau gunakan duit tersebut untuk makan tengahari. Akhirnya saya pilih untuk sedekah kerana saya yakin Allah akan gantikan dengan yang lebih baik. Usai kelas, sedang saya berjalan bersama rakan saya untuk ke kafe, ada sekumpulan orang sedang mengagihkan bungkusan nasi. Apabila sebungkus nasi dihulurkan kepada saya, saya ucap terima kasih kepada si pemberi. Saya tahan air mata daripada jatuh ke pipi. Berulang kali saya bertahmid dalam hati. Situasi ini terjadi banyak kali kepada saya.
Bila sudah kehabisan duit belanja, saya sangat risau.
"Nak makan apa hari ini? Mesti gastrik nanti."
"Nak beli buku tapi segan nak minta duit dekat mak."
Dalam kerisauan. saya tetap yakin Allah akan bantu saya. Pertolongan dari Allah tak pernah putus, sama ada ada kawan belanja makan atau ada agihan makanan percuma. Saya bersyukur ujian saya tidak seberat orang lain. Ada orang sampai makan nasi dengan garam, tapi saya masih belum sampai ke tahap itu. Ada orang tak dapat sambung belajar, tapi saya di sini, di sebuah universiti yang menjadi impian ramai orang. Ada orang nak dapat makan nasi sehari pun susah, tapi saya masih dapat makan nasi walau sekali sehari.
Terlalu banyak nikmat yang Allah bagi tapi tidak kita syukuri. Bila Allah uji susah sikit, terus kita merungut dan tak percaya dengan janji Allah. Bila Allah bagi lebih sikit, kita terus lupa Dia yang memberi rezeki.
Sedih pula rasa bila throwback pahit manis tahun 2019. *pandang siling, tahan air mata*
Okey okey, dah. Apa yang sudah berlalu biarkan berlalu. Kita tak boleh undurkan masa tetapi kita boleh jadikan pengajaran dari apa yang terjadi. Yuk, move on ke 2020!
Terasa cepat kan masa berlalu? Ada yang sudah memasuki 20 series, ada yang baru memasuki alam perkahwinan, ada yang bakal menghadapi peperiksaan besar, dan ada juga yang masih struggle mencari cahaya hidayah dalam kegelapan jahiliah.
Ya, saya akui hijrah itu amat payah. Lagi payah nak istiqamah dan konsisten dengan amal yang kita buat. Ditambah pula dengan pelbagai godaan serta fitnah akhir zaman. Sukar bukan? Entah berapa kali kita tersungkur tapi masih tak putus asa cuba, cuba dan cuba lagi walau payah.
Saya tak mahu kongsikan tips hijrah yang klise, mesti ramai dah tahu. Cuma apa yang tinggal adalah usaha. Jika tiada usaha, walau beribu orang hebat bagi tips kepada kita, tapi kita yang tak nak berubah sungguh-sungguh, tak jadi juga.
Nasihat saya cuma satu,
"Kau kena tamatkan apa yang kau mula"
Jangan buat sesuatu sekerat jalan kemudian putus asa.
Sesuatu itu tak akan membuahkan hasil dengan tiga empat kali cubaan. Kalau masih gagal berkali-kali, ingatlah kejayaan itu datang selepas kegagalan. Tak ada orang buat sekali saja terus dapat hasil. Allah tengok usaha, bukan hasil. Okay?
Moga tahun ini lebih banyak kebaikan dan rezeki untuk kalian. Doakan saya juga ya?
Adios!
P/s: Saya ada buat printable mutabaah amal. Saya akan kongsikan dalam next post bila dah siap nanti. Silakan guna dalam planner atau journal kalian. Banyak pilihan warna yang ada tau! Nantikan!
Alhamdulillah,nice sharing.Moga istiqamah dalam menyebarkan kebaikan dan tak jemu nak share kebaikn ngan org lain.Keep it up,biiznillah.
ReplyDeleteThis comment has been removed by the author.
ReplyDelete