HIJRAH BAB 4



"Aira..."
"Hmm?" Aira mengangkat muka memandang Humaira di sebelahnya. Novel di tutup dan diletakkan di atas peha.
"Aku dah lama tak nampak Aizad. Kau tahu mana dia pergi?"
"Err.." teragak-agak Aira ingin menjawab. Sudah lama nama Aizad tidak disebut oleh Humaira. Aira fikir Humaira tidak peduli lagi tentang lelaki itu. Tetapi sekarang, apa jawapan yang patut dia berikan sebagai balasan kepada pertanyaan Humaira? Hanya dia dan Khai sahaja tahu di mana Aizad berada.
"Aira? Hei, dengar tak ni aku tanya!" Humaira menepuk lembut peha Aira. Sempat lagi Aira mengelamun. Apa soalan dia ajukan tadi mesti dijawab ikut format macam SPM ke?
"Dia... hah! Khai cakap dekat aku dia tukar kolej. Tak tahu pula aku kat mana." Aira tersengih. Rasanya itu jawapan paling selamat setakat ini. Lagipun, dia dan Khai sudah berjanji kepada Aizad untuk merahsiakan keberadaan Aizad dari Humaira.
"Pindah kolej? Kenapa aku tak tahu pun?" Nada suara Humaira berubah kecewa. Entah kenapa, dia terasa dengan tindakan Aizad yang melulu. Kenapa pula lelaki itu pindah kolej secara tiba-tiba tanpa memberitahunya apa-apa?
"Humaira, kau lupa ya kau bukan sesiapa pada dia. Jadi buat apa dia nak beritahu kau apa dia buat, kemana dia pergi. Kau... kau rindu dia, Humaira?" Aira cuba menebak. Air muka Humaira terus berubah apabila mendengar soalan Aira.
Aku rindu Aizad? Tak mungkin!
"Tak adalah, saja aku tanya." Humaira senyum nipis, sengaja membiarkan soalan Aira tidak berjawab. Kerana dia memang tidak punya jawapan untuk soalan itu. Sehabis boleh dia cuba untuk melupakan lelaki itu, jadi tidak patut rasanya dia melayan rasa rindu yang boleh membuatkan dia memikirkan Aizad.
Zina itu banyak cabang, antaranya zina hati. Humaira tidak mahu melakukan zina hati yang membawa dosa. Jikalau rindu, dia sepatutnya berdoa semoga Allah jagakan Aizad, bukannya melayan perasaan rindu itu.
"Aku rasa keputusan dia untuk tukar kolej sangat wajar. Dengan itu, kau dan dia akan lebih menjaga hati masing-masing. Tak mudah nak melupakan orang yang kita cinta sebab itu masing-masing perlu berkorban." Aira bersuara memberikan pendapatnya.
"Aku harap hati aku sentiasa terjaga daripada rasa rindu kepada ajnabi. Terima kasih sebab selalu ada dengan aku, Aira." Humaira mendakap Aira erat. Matanya dipejam rapat sambil mendoakan kebaikan kepada sahabatnya itu.
Jika tiada Aira, dia mungkin tidak sekuat sekarang. Jika tiada Aira, dia mungkin juga bukan Humaira yang sekarang. Aira adalah satu bentuk bantuan dari Allah dalam perjalanan hijrahnya. Humaira tak dapat bayangkan jika tiada Aira di sisinya, dia pasti akan tersungkur setiap kali disapa ujian Tuhan.
"Aira, stay dengan aku sampai tua, tau?" Humaira meluncurkan satu permintaan keluar dari mulutnya.
Aira terdiam beberapa saat sebelum membalas, "Aku tak janji."
"Kenapa?"
"Sebab aku hanya pinjaman dari Allah. Bila-bila masa Dia boleh ambil aku dari kau atau ambil kau dari aku. Aku harap bila masa itu tiba, kau akan redha, ya Humaira?" Telapak tangannya mengusap lembut rambut Humaira.
Humaira tersenyum kelat. "Aku akan cuba."
Ingatan Humaira kembali memutarkan kejadian 2 minggu yang lalu. Sebelum kejadian itu berlaku, usrahnya berjalan agak perlahan sejak peristiwa Humaira difitnah. Namun semuanya kembali pulih atas bantuan Profesor Hafiz yang membantu memulihkan keadaan.
Ada juga Humaira mendengar desas-desus bahawa fitnah itu disebarkan oleh Shazlin. Jika berita itu benar, dia harap Shazlin tidak lagi melakukan perkara yang boleh menjatuhkan maruah orang lain serta maruahnya sendiri. Sehingga kini gadis itu belum muncul di hadapannya untuk meminta maaf.
Apa yang terjadi 2 minggu lalu adalah ahli-ahli Team Usrah datang ke bilik Humaira lalu meminta maaf beramai-ramai atas kesilapan mereka kerana salah faham terhadap Humaira. Sejak hari itu, Aira dapat melihat kembali senyuman manis Humaira. Kebahagiaan Humaira adalah kebahagiaan Aira. Dia tidak betah jika Humaira disakiti.
"Kak Humaira, Ain minta maaf sebab tuduh Kak Humaira hari itu. Ain minta maaf sangat, kak!" Ain menangis teresak-esak di dalam pelukan Humaira. Berdosanya dia kerana memfitnah Humaira! Jika hukuman qazaf dijatuhkan kepadanya, dia rela asalkan hukuman di akhirat sana lebih ringan.
"Tidak mengapa sayang. Akak dah maafkan. Shhhh... Jangan menangis." pujuk Humaira sambil mengusap lembut belakang Ain. Humaira langsung tidak marah apatah lagi berdendam dengan orang-orang yang telah mempercayai fitnah yang tersebar itu.
Humaira teringat akan satu firman Allah di dalam al Quran,
يَاأَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا إِن جَآءَكُمْ فَاسِقُُ بِنَبَإٍ فَتَبَيَّنُوا أَن تُصِيبُوا قَوْمًا بِجَهَالَةٍ فَتُصْبِحُوا عَلَى مَافَعَلْتُمْ نَادِمِينَ
“Hai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasik membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti, agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu”. [Al Hujurat : 6].
Melalui ayat ini, Allah memerintahkan hamba-hambanya yang beriman agar menyelidiki setiap berita yang sampai kepada mereka. Dosa memfitnah itu lebih besar dari membunuh. Malah orang yang memfitnah boleh dijatuhkan hukuman qazaf! Itu baru hukuman di dunia. Mengapa dosa memfitnah sebegitu besar? Kerana fitnah itu akan terus tersebar sehingga menjatuhkan maruah seseorang. Walaupun pemfitnah telah meminta maaf, tapi akan ada segelintir orang yang akan terus mempercayai fitnah itu kerana kesan fitnah itu berpanjangan!
"Kak Humaira. Akak rasa siapa yang sebarkan gambar tu?" Widya mencelah. Dia kasihan melihat ujian yang menimpa Humaira. Ketika Ain memberitahunya bahawa Humaira adalah seorang penipu, sukar untuk dia mempercayainya.
"Entah lah. Okey kita lupakan semua ni. Akak dah maafkan adik-adik semua. Akak pun dah maafkan si pelaku." Humaira tersenyum manis menampakkan lesung pipitnya. Walaupun dia mengetahui bahawa Shazlin adalah pelakunya, dia tidak mahu membangkitkan lagi soal itu. Dia sudahpun memaafkan Shazlin.
"Kak Aira, Kak Amira!" Ain menyeru nama dua gadis yang sedang leka menghidangkan pelbagai jenis cupcake dia atas meja.
Aira dan Amira segera menoleh apabila nama mereka dipanggil.
"Ini soalan serius. Apakah reaksi Kak Humaira bila dapat tahu berita tu?"
Soal Ain kepada Aira dan Amira dengan lagak seperti seorang wartawan.
Seisi bilik meledakkan ketawa melihat telatah Ain.
"Mesti lah menangis, takkan gembira kot. Hahaha!" Amira tertawa kecil.
"Elele... Mesti comel masa Kak Humaira menangis." sakat Ain diikuti ketawa mereka yang ada disitu.
Merah pipi Humaira menahan malu.
"Ishh sudah lah. Pandai Ain menyakat akak ya. Jom semua jemput makan apa yang terhidang atas meja tu. Nasib baiklah ada lebih cupcake yang akak beli semalam." pelawa Humaira.
"Wah, rezeki jangan ditolak!" Ainul berkata riang. Dia orang pertama yang tiba di meja makan.
"Woi! Kau kenapa sengih sorang-sorang ni? Ingat orang yang disana ke?" Aira mematikan lamunan Humaira. Humaira kembali ke alam realiti. Dicubit perlahan peha Aira, segan setelah ditangkap mengelamun oleh Aira.
"Tak ada kerja aku nak ingat dia. Huh!" Bibir Humaira memuncung, menafikan tekaan Aira yang tak berasas.
"Yelah tu. Mengaku jelah Humaira. Dengan aku pun nak berahsia ke?" Aira menggeletek perut Humaira.
"Aira dah lah. Airaaaaaaa geliiilahhhhh!!!!" Humaira bangun dari sofa lalu berlari ke dapur.
Aira mengejar. "Aizad! Aizad!" jerit Aira sambil mengejar Humaira.
*****
USAI usrah, satu-persatu mula meninggalkan perkarangan taman. Humaira memasukkan mushaf biru ke dalam beg kemudian membantu Amira mengemas kawasan yang mereka gunakan untuk usrah tadi. Tikar mengkuang yang menjadi alas seramai 20 orang ahli usrah dilipat dengan cermat.
"Humaira, selepas ini kau ada nak pergi mana-mana tak?" soal Amira kepada Humaira yang sedang mengutip beberapa sampah di atas rumput lalu dimasukkan ke dalam plastik. Haila, taman ini memanglah tempat awam, tapi janganlah buang sampah merata-rata!
Plastik yang penuh dengan sampah diikat kemas sebelum dibuang ke dalam tong sampah yang sudah tersedia. Botol mineral dikeluarkan dari beg yang tersangkut di bahu. Humaira menghampiri sebuah pokok lalu membasuh tangannya di situ menggunakan air mineral. Selesai sahaja, Humaira menghampiri Amira yang sudah terduduk keletihan di bangku kayu.
"Hmm.. Tak ada pergi mana-mana kot. Aku nak balik kolej terus, ada tugasan perlu disiapkan." Soalan Amira dijawab lantas air ditangan diteguk selepas lafaz basmalah dibaca.
"Kenapa tanya?" soal Humaira kembali. Matanya melirik memandang Amira yang sedang membaca sesuatu di telefon bimbitnya.
"Aku ada hal sekarang. Kau boleh balik kolej dululah dengan Aira dan Ain. Boleh kan?"
Humaira memandang Aira dan Ain yang sedang berbual sambil mengemas kawasan yang diduduki mereka. Humaira tidak mahu bertanya lebih lanjut kemana Amira hendak pergi, bimbang Amira salah sangka pula. Doanya semoga Amira sentiasa dilindungi Allah kemana sahaja dia pergi.
"Boleh, tak ada masalah. Kau hati-hati tau, apa-apa call aku." pesan Humaira sebelum Amira berlalu pergi.
Dari jauh kelihatan Aira dan Ain sedang berjalan menghampiri Humaira. Humaira tersenyum sendiri, senang hati melihat hubungan Aira dan Ain yang seperti adik-beradik. Melekat saja sepanjang masa.
"Kak Humaira," sapa Ain lalu melabuhkan punggung di sebelah Humaira.
Humaira mengangkat kening, menanti kata-kata Ain seterusnya. Sempat matanya melihat ke arah Aira yang tersenyum penuh makna.
"Jom ikut Ain balik rumah?"
Humaira terdiam sambil memikirkan aktiviti selepas ini yang telah dirancang. Pandangannya kembali melihat Aira. Aira mengangguk-angguk dengan rasa teruja.
"Ain kata ibu dia masak laksa hari ini. Kegemaran kita kan kan?" kata Aira seolah-olah memujuk Humaira supaya bersetuju.
Humaira tertawa kecil. "Ain dah bagitahu ibu ke akak dengan Kak Aira nak datang?" Pandangan beralih semula kepada Ain.
Laju Ain menganggukkan kepala. Humaira masih berfikir. Sempat atau tak ya kalau pergi rumah Ain sekejap? Mahu menolak tak sampai hati pula.
"Okey jom," Humaira memberi kata putus yang membuatkan dua gadis dihadapannya bersorak riang.
*****
Kasut converse diambil dari rak kasut lantas disarung ke kaki. Badannya dibongkokkan untuk mengikat tali kasut yang terlerai. Dari muka pintu, dia melihat ibunya sedang berbual dengan seseorang di ruang tamu. Eh, bukan seorang tapi dua orang! Adiknya turut ada di situ. Bila pula tetamu ini datang?
"Ibu, orang keluar dulu!" laung Khai sebelum membuka langkah ke arah motosikalnya.
Puan Amnah bergegas ke luar rumah untuk menahan anaknya. "Kamu nak kemana pula petang-petang ni?" soal Puan Amnah.
Lelaki itu mengangkat papan luncur di tangannya sambil tersengih. Puan Amnah menggeleng kepala. "Dah solat asar?"
Lelaki itu mengangguk. Kunci motor dimasukkan ke dalam lubang kunci.
"Balik sebelum magrib, tau? Jangan merayap!" pesan Puan Amnah tegas.
Anak bujangnya tergelak. Ibunya suka melayannya seperti anak kecil. Apa muka dia yang dah berbulu ni nampak macam budak kecil lagi, ke?
"Ya, orang tahulah ibu. Hah ibu, siapa yang datang tu?" soalnya dengan mimik muka hairan. Setahunya, ibunya jarang menerima tetamu jika bukan pada hari raya.
Puan Amnah tersenyum dengan riak teruja. "Bakal menantu ibu!" balas Puan Amnah lalu tersipu malu.
"Bakal menantu?!" Nada suaranya naik satu oktaf. Aduhai, ibu!
Puan Amnah ketawa sambil menampar lembut bahu anaknya. "Itu senior kolej Ain lah. Eh, sekejap. Maknanya satu kolej dengan kamu juga kan? Mesti kamu kenal mereka berdua!"
Humaira dan Aira saling berpandangan sambil di kepala masing-masing memikirkan sesuatu. "Macam familiar suara tadi tu," kata Aira.
Humaira mengangguk setuju.
"Itulah abang Ain. Nama dia Adam Khairul." celah Ain lalu memasukkan kuih bahulu ke dalam mulutnya.
"Apa? Adam Khairul?!" serentak Humaira dan Aira bersuara dengan nada terkejut.
Completed 2015.
Updated 2018.

Comments

Popular posts from this blog

FREE PRINTABLE MUTABAAH AMAL

AKU CINTA RAMADHAN!

CERPEN : BAGAIMANA AKHIRNYA AKU JATUH CINTA