CERPEN : BAGAIMANA AKHIRNYA AKU JATUH CINTA


Nama aku Adam Benjamin bin Adam Edward. Aku dilahirkan dalam keluarga yang langsung tak tahu apa-apa tentang Islam. Perkara yang asas itu tahulah, itupun rasa malas gila nak buat. Mama dan papa aku muallaf. Mama aku berasal daripada Manilla, Filipina tetapi menetap di Malaysia sejak kecil lagi. Papa pula berdarah Australia. Hasil daripada perbezaan dua negara itu, maka lahirlah aku sebagai seorang lelaki yang digilai oleh ramai wanita kerana paras rupaku yang menepati ciri-ciri lelaki idaman setiap wanita. Cewahh! Namun, imanku senipis kulit bawang kerana dari kecil aku tidak mempraktikkan cara hidup seorang Muslim dalam kehidupan seharian. Senang kata, aku Islam tetapi hanya di atas kad pengenalan.
Sejak kecil, aku mendapat semua benda yang aku mahukan. Tetapi selama 17 tahun aku hidup di muka bumi beratapkan langit biru ciptaan Ilahi ini, aku masih tidak dapat merasakan ketenangan. Hati aku terasa kosong, seperti ada sesuatu yang hilang. Lalu aku pujuk diri dengan isi hati yang kosong dengan hiburan. Aku tidak terfikir langsung mahu mendekatkan diri dengan Pencipta yang memegang hati ini. Sehinggalah suatu hari, aku mengenali dia, Nur Insyirah atau aku panggil Iron Lady. Dia seorang pelajar perempuan yang berjaya memikat hati aku yang keras macam batu. Sejujurnya aku tidak pernah menyedari kewujudan dia di sekolah sebelum ini. Beberapa kali juga aku kena heartshot daripada dia. Dia punya heartshot... Pergh, tepat tembus ke dalam hati aku yang sememangnya hitam, karat, dan rapuh dengan dosa. Kadang-kadang, aku rasa macam maruah aku dipijak sesuka hati pun ada. Tetapi entah mengapa, aku tidak mampu bertukar watak setiap kali berhadapan dengan Insyirah. Setiap kali aku memandang wajahnya, terasa satu ketenangan menyelinap masuk ke dalam hati yang akhirnya membuatkan aku kehilangan kata-kata. Benarlah, cinta itu buta sehingga aku tidak sedar ada cinta yang lebih utama, iaitu cinta kepada sang Pencipta rasa cinta.
Ini kisah aku. Kisah bagaimana akhirnya aku jatuh cinta...
Loceng berbunyi menandakan waktu rehat telah tamat. Cepat-cepat aku mengatur langkah ke kelasku yang berada di tingkat tiga. Fuh, setiap hari perlu naik dan turun tangga. Itu belum dikira dengan hari di mana kebanyakan mata pelajaran bukan berjalan di dalam kelas, sama ada pelajar dikehendaki bergerak ke makmal, bengkel, surau atau pusat sumber. Memang membakar lemak yang degil betul. Tetapi aku hairan kenapa pelajar perempuan sering merungut apabila menaiki tangga. Bukannya tangga ini mengemukkan mereka pun. Haila, perempuan memang sukar difahami. Semua perkara tak kena di mata mereka!
Ketika aku dalam perjalanan naik ke tingkat tiga, aku menyedari terdapat dua orang pelajar perempuan yang tidak aku kenali turut mendaki tangga di belakangku. Bibirku lantas mengukir senyuman. Konon mahu tunjuk gentleman sangat, aku memberhentikan langkah seraya berganjak ke tepi. Senyuman paling manis aku hadiahkan kepada dua orang pelajar yang aku lihat manis dengan tudung labuh sekolah yang tersarung di kepala mereka. Niatku bukan mahu mengorat mereka tetapi hanya mahu mengambil hati sahaja memandangkan aku adalah pelajar lelaki yang sangat dikenali. Jadi untuk menjaga imejku sebagai pelajar paling popular, aku haruslah menunjukkan sikap yang baik kepada semua warga sekolah ini, tak ke?
"Ladies first," ujarku lembut bersama senyuman yang masih menghiasi bibir. Gadis berkaca mata memandangku dengan kerutan di dahi. Mungkin hairan kerana masih ada lagi lelaki gentleman abad ini. Haha, perasan gila kau ini, Ben! Manakala seorang pelajar lagi hanya menundukkan kepala sambil memeluk dua buah buku log di tangannya. Dia langsung tidak mengangkat muka, sebaliknya dia turut beralih ke tepi lalu memberi isyarat supaya aku meneruskan langkah.
Kali ini giliranku pula yang mengerutkan dahi melihat reaksi gadis itu. Aku kembali memandang rakannya yang berkaca mata. Gadis itu menayang senyuman nipis sambil menjongketkan bahunya. Aku tidak tahu pula gadis yang sedang memeluk buku log itu adalah spesies lain daripada perempuan lain. But sorry to say, Adam Benjamin bukan seorang lelaki yang mudah berputus asa. Dengan suara yang lembut aku berkata, "Eh, takpe. Ladies first, kan?" Beria-ria tanganku mempersilakan mereka mendahului langkahku namun kedua-dua pelajar tersebut masih tidak berganjak.
Sesaat kemudian, gadis itu memberikan jawapan yang cukup membuatkan aku berasa seperti terkena renjatan elektrik. Ikutkan hati, mahu sahaja aku membalas dengan kata-kata yang lebih pedas tetapi entah mengapa lidahku menjadi kelu. "Dalam Islam... Boys first, tak ke?"
Tanpa berlengah, aku terus melangkah tanpa menoleh lagi. Sungguh aku malu! Aku dapat rasakan pipi aku sudah berona merah dek perasaan malu yang mula menyelubungi diri. Aduh, di mana aku boleh dapatkan sebuah guni untuk aku sorokkan muka ini? Fikiranku ligat mengingati semula gerangan pelajar perempuan yang sudah berjaya membuatkan Adam Benjamin hilang kata-kata!

Sebelum sesi pembelajaran di dalam kelas berlangsung, aku menceritakan apa yang terjadi kepada Carl, satu-satunya kawan baik aku yang berkarakter ala-ala pendakwah milenia. Sepatah aku tanya, berjela-jela dia jawab siap dengan pakej tazkirah free. Nasib kau lah, Ben! Aku meluahkan kepada Carl bahawa aku tidak puas hati dengan perempuan itu, tetapi aku pula yang dimarahi oleh Carl.
Okey, bukan dimarahi tetapi ditazkirah oleh Carl.
"Betul lah apa yang perempuan itu cakap. Dalam Islam, lelaki mana boleh berjalan di belakang perempuan. Kau ini nak tunjuk gentleman pun agak-agaklah. Taktik itu sudah lapuk ditelan zaman," bebel Carl sambil mengutuk tindakan tidak up-to-date yang dilakukan olehku.
Kurang asam jawa punya kawan!
Aku menayang muka tidak puas hati. "Kenapa pula lelaki tak boleh berjalan di belakang perempuan? Tak salah pun kan kalau tujuan kita nak protect perempuan itu, betul tak?" soalku ingin menuntut penjelasan daripada Carl yang sedang ralit membaca buku rujukan Kimia di tangannya. Carl memang begini sejak awal persekolahan lagi. Dia akan mengulangkaji tajuk yang akan diajar oleh guru sebelum guru tersebut memulakan pembelajaran. Katanya, dia akan mudah faham apa yang diajar sekaligus dia tidak akan mudah hilang tumpuan. Tidak hairanlah Carl selalu sahaja menduduki tempat pertama dalam tingkatan lima diikuti dengan aku yang sentiasa mengejar di belakang. Namun aku tidak lah kisah sangat jika Carl sentiasa mendahului ku kerana kami bersaing secara sihat.
Carl menepuk perlahan bahuku sebaik menghentikan pembacaannya. "Begini wahai sahabatku yang paling kacak... Islam melarang lelaki berjalan di belakang perempuan kerana ingin menjaga kehormatannya. Sebenarnya jawapan yang kau mahukan ada pada diri kau sendiri, Ben. Tanya pada diri kau, apabila kau berjalan di belakang perempuan, apa yang kau akan fikirkan? Tipulah kalau kau kata yang kau tak fikir bukan-bukan tentang perempuan itu. So, got it?"
Aku tersentak seketika. Ada benarnya apa yang dikatakan oleh Carl. Aku menganggukkan kepala sebagai tanda aku memahami apa yang cuba disampaikan oleh Carl. Carl tersenyum lalu menyambung, 
"Saidina Umar al-Khattab pernah berkata, beliau lebih rela berjalan di belakang seekor singa daripada di belakang seorang perempuan. Hah, kau ingat tak pada Saidina Umar, sahabat Rasulullah yang aku pernah ceritakan sebelum ini? Kalau kau tak ingat, aku sekeh kepala kau nanti!" Nada suara Carl bergetar amaran. Ceh, acah-acah gangster pula mamat ini!
Aku hanya mampu menggaru kepala yang tidak gatal sambil berusaha mencari semula data mengenai Saidina Umar di dalam kotak memoriku. Arghh... mengapa aku langsung tak ingat ni? Ya, Carl memang ada berkongsi beberapa kisah tentang Saidina Umar sebelum ini tetapi.... Ah! Malas mahu membazirkan masa untuk mengingati gerangan lelaki itu. Carl inipun satu, aku bukannya mahu mendengar tazkirah tanpa bayaran daripada dia! Apa yang penting, aku sudah dapatkan jawapan tentang larangan berjalan di belakang seorang wanita. Kini aku mengerti mengapa pelajar perempuan itu tidak berganjak langsung walaupun aku sudah memberikan laluan kepadanya.
Okey, selepas ini aku tidak akan tunjuk gentleman dengan cara 'ladies first', tetapi mungkin aku akan lakukan juga untuk menguji jika ada perempuan yang melangkah mendahului aku, bermakna dia rela kena scan dengan mata lelaki. Wahaha! 

"Ben..."
"Yes?" Aku mengangkat muka sebaik namaku diseru oleh Fadh. Fadh meletakkan pen biru di atas buku di hadapannya. Matanya menikam tepat anak mataku. Why so serious, pakcik?
"Apa pendapat kau tentang perempuan zaman sekarang ni?" soalnya serius. Dahiku sudah berkerut-kerut memikirkan jawapan bagi soalan Fadh. Buku tulis Add Math aku tolak ke tepi seraya mataku melilau memandang pelajar-pelajar perempuan yang ada di dalam pusat sumber ini.
"Kenapa tiba-tiba kau tanya?" Soalan Fadh aku balas dengan soalan. Wajah Fadh bertukar riak bosan. Marah agaknya kerana soalannya tidak berjawab.
"Saja tanya, nak tahu juga pendapat daripada romeo sekolah memandangkan kau ramai peminat perempuan," balas Fadh sarkastik. Aku meletuskan ketawa halus. Hendak ketawa kuat-kuat, risau akan dimarahi oleh pengawas pusat sumber yang sedang bertugas pula.
"Hmm... Bagi aku perempuan ni macam patung Barbie. Kita boleh mempermainkan mereka sesuka hati." ujarku sedikit angkuh. Memang itu yang aku lihat pada makhluk yang bergelar perempuan. Mereka selalu mengikut perasaan, langsung tidak memikirkan baik buruk setiap perkara yang hendak dilakukan. Misalnya, apabila seseorang itu sukakan seseorang, dia sanggup menjatuhkan maruah diri untuk mengejar cinta lelaki itu. Yang peliknya, bila sudah disakiti masih tidak serik. Berbeza sungguh dengan perempuan zaman nabi dahulu.
Fadh mengangguk mengiakan kata-kataku sambil tersenyum lebar. "Agreed. Dan bila dengan perempuan ni, kita kena bina kesabaran setinggi KLCC. Mood dorang asyik swing je. Lepastu hal kecil suka dibesarkan. Dah salah masih lagi nak menang. Tak faham betul," bebel Fadh dengan riak wajah yang pelbagai. Nada suaranya dikawal agar kegeramannya pada kaum perempuan tidak didengari oleh orang lain selain aku.
Aku ketawa mengejek. "Kau tengah gaduh dengan Leen ke, bro?" dugaku. Fadh tersenyum nipis tanpa balasan sama ada menafikan atau tidak. Aku hanya menggeleng kepalaku perlahan. Aku faham sangat dengan perasaan pasangan kekasih apabila mereka menghadapi pergaduhan. Namun apa yang aku faham adalah pergaduhan itu membuang masa. Come on la, tak akan nak habiskan masa melayan sikap sesetengah wanita yang sukar mahu berkompromi? Akhirnya, lelaki pula yang akan lebih tertekan.
Tiba-tiba seseorang menampalkan sehelai sticky note di atas buku latihanku. Aku memandang Fadh yang juga kelihatan terkejut kemudian kami sama-sama melihat gadis itu keluar daripada pusat sumber. Fadh memuncungkan bibirnya ke arah sticky note di buku milikku sebagai tanda supaya aku membaca apa yang tertulis di atas kertas tersebut. Dengan perasaan yang berdebar-debar, tulisan yang tertera di atas kertas kecil itu aku baca.
"Tapi kena ingat, bro. Lelaki sejati tak main patung Barbie." Tuturku supaya turut didengari oleh Fadh. Sesaat kemudian riak wajah kami berdua bertukar rona. Tiba-tiba disapa malu yang teramat sangat. Lelaki sejati tak main patung Barbie; bermaksud lelaki sejati tak akan mainkan hati perempuan. Okey, kini aku faham yang pelajar perempuan itu sudah terdengar perbualan aku dengan Fadh.
"Err... Kau yang cakap macam tu tadi tau, bukan aku." Fadh mengingatkan. Kata-kata Fadh telah menebalkan lagi perasaan serba salahku. "Siapa minah tu?" soal Fadh ingin tahu apabila melihat aku sudah menekup muka menahan malu.
"Ustazah Insyirah..." balasku ringkas. Ya Rabbi, malu gila bila kena heartshot entah untuk kali ke berapa! Di mana aku mahu sorokkan muka ini?
"Heh. Your crush, isn't?" usik Fadh apabila aku menyebut nama Insyirah. Huh, Fadh cukup kuat ingatan untuk ingat segala cerita yang pernah aku ceritakan kepadanya mengenai Insyirah. Namun baru hari ini dia melihat sendiri gerangan gadis yang telah mendapat tempat di hatiku itu.
"Mana ada," tegasku menafikan.
"Eleh tak nak mengaku. So, dialah perempuan yang dah berjaya buat lidah Adam Benjamin beku macam ais. Huh?" usik Fadh lagi. Fadh ketawa melihat wajahku yang berona merah.
"Ergh... shut up, idiot!" marahku tanpa sedar dengan suara yang naik satu oktaf apabila Fadh galak mentertawakanku dengan membuat gaya menekan-nekan perutnya.
Sesaat kemudian, terdengar suara pengawas pusat sumber yang memberi amaran kepadaku supaya memperlahankan suara. Aku menjegilkan mata kepada Fadh yang sedang ketawa mengejek sambil menjelir lidahnya kepadaku.
Kuasam punya kawan!



"Hei, ada masalah negara, ke?" Bahuku ditepuk perlahan oleh seseorang. Aku menengadah lalu menggeleng sebaik wajah Carl menghiasi pandanganku. Botol air mineral di tangan aku teguk sehingga kosong seraya kembali memandang ke arah sekumpulan pelajar lelaki yang sedang bermain bola di padang. Aku malas mahu menyertai rakan-rakanku bermain bola hari ini. Bagiku, perasaanku yang lebih utama pada saat ini.
"Mind to share?" soal Carl prihatin, masih tidak berputus asa selagi aku tidak meluahkan masalah yang aku sedang hadapi. Inilah keistimewaan Carl. Dia lebih suka mendengar dan menyelesaikan masalah orang lain berbanding masalah sendiri. Jika tiba giliran aku yang bertanya ketika dia ada masalah, jangan haraplah dia nak berkongsi.
"Carl, aku rasa aku dah jatuh cinta," luahku perlahan tanpa memandang wajah Carl. Tiada balasan atau sebarang reaksi daripada Carl membuatkan aku menoleh memandangnya. Matanya masih melihat ke arah padang tanpa mengeluarkan suara.
"Aku nak confess dekat dia, boleh tak?" soalku lagi apabila Carl masih tidak bersuara. Haila, tiba-tiba rindu nak dengar Carl membebel. Sekarang ini apa pula masalah Carl sampai tak nak bercakap dengan aku? Aku ada tersalah cakap ke?
"Carl, kau dengar tak aku cakap ni?" soalku sambil menolak perlahan bahu Carl. Carl mengangguk perlahan tanpa memandangku.
"So, kau rasa okey tak kalau aku nak confess?" soalku buat kali kedua.
"No need, sahabat. Aku dah pesan jangan cemarkan fitrah dengan fitnah. Lagipun, aku tak nak hati kau berdarah macam orang lain kalau dia tolak kau. Bukan senang nak pulihkan hati yang dah disakiti. Sakit kau tahu, sakit." Carl mengingatkan dengan wajah selamba.
Aku mencebik sebaik mendengar jawapan Carl. Ceh, gaya dia bercakap macam ada pengalaman bercinta aje. Hakikatnya, seorang Carl sangat anti dengan makhluk yang bernama perempuan. "Baiklah, ustaz. Nanti aku fikirkan balik," balasku malas. Terasa sakit hati pula dengan Carl ini. Semua benda tak boleh!
"Moga Allah lembutkan hati kau," tutur Carl perlahan. Aku berpura-pura tidak mendengar. Lagipula ini kali pertama aku sukakan seseorang. Jadi aku akan cuba untuk memenangi hati Insyirah sekaligus aku akan buktikan kepada Carl bahawa aku bukan seperti lelaki lain yang suka mempermainkan perasaan perempuan. Terutamanya perempuan sebaik Insyirah.


Aku menghentikan langkah apabila namaku diseru oleh beberapa suara dari belakang. Lantas aku menoleh untuk melihat gerangan yang memanggilku ketika aku sedang bergegas untuk memasuki kelas Biologi yang sudah lama bermula. Dari kejauhan aku lihat tiga orang pelajar perempuan sedang berlari ke arah ku sambil melambaikan tangan mereka. Aduhai, apa pula yang mereka mahukan?
Sebaik tiga pelajar itu tiba di hadapanku dengan nafas yang tercungap-cungap, aku memberikan segaris senyuman sebagai tanda hormat. "Ada apa ya?" soalku sambil memandang satu persatu wajah di hadapanku. Firasatku kuat mengatakan bahawa ketiga-tiga pelajar ini adalah daripada tingkatan yang berbeza. Pelajar bertudung labuh biru itu semestinya daripada kelas aliran agama kerana hanya kelas aliran agama sahaja yang memakai tudung biru. Cuma apa yang membuatku hairan, apa yang dia lakukan pada sesi pagi ini sedangkan pelajar tingkatan satu hingga tingkatan tiga bersekolah pada sesi petang nanti.
"Hai Ben. Err... Kitorang nak bagi sesuatu pada Ben...." tutur salah seorang daripada pelajar itu sambil malu-malu melihat wajahku.
"Apa dia?" soalku berpura-pura tidak tahu walaupun aku sudah melihat surat yang dipegang oleh mereka bertiga.
"Nah!" Serentak dengan itu, mereka menghulurkan sekeping surat kepadaku setiap seorang. Maka jumlahnya tiga keping surat sedang menanti respon aku untuk disambut. Aku terus menyambut huluran mereka sekadar ingin menjaga hati. Kang susah pula jika mereka meraung atau histeria di tengah-tengah tapak perhimpunan ini.
"Terima kasih. Tapi, surat apa ni?" soalku tidak mengerti. Ketiga-tiga pelajar itu tersenyum-senyum sesama sendiri lalu membuka langkah untuk berlalu. 
"Bye Ben, jumpa lagi!" ucap mereka bertiga seraya berlari meninggalkan aku terpinga-pinga seorang diri. Haish, perempuan zaman sekarang ini, macam-macam perangai!
Baru sahaja aku ingin meneruskan langkah, satu suara lagi memanggilku. Aku memutarkan bebola mataku tanda meluat. Siapa pula kali ini? "Ben, tunggu sekejap!" suara Carl mencecah gegendang telingaku. Carl tiba di sisiku dengan senyuman menghiasi bibirnya. Beberapa buah buku dan kotak pensil turut berada dia tangannya. 
"Hah, kau rupanya. Nak apa?" soalku kasar. Entah, aku juga tidak tahu kenapa aku perlu berkasar dengan Carl sedangkan dia langsung tidak bersalah. Mungkin hatiku masih tidak dapat menerima nasihat Carl beberapa hari yang lalu agar aku tidak meluahkan perasaan kepada Insyirah. Aku cuma mahu Carl memberikan sokongan kepadaku sebagai seorang sahabat yang menyayangi sahabatnya, itu pun susah ke?
"Kau nak pergi makmal Bio kan? Jom jalan sekali!" kata Carl seolah-olah tidak terkesan dengan nada suaraku tadi malah bibirnya masih menayang senyuman.
"Kita dah lambat ni, tahu tak? Best student macam kau pun boleh lewat masuk kelas ke?" sindirku seraya melangkah laju ke arah blok C di mana makmal biologi terletak.
"Aku ada perjumpaan pengawas. Kau lupa ya ada pengumuman tadi?" soal Carl membuatkan aku terdiam. Oh, aku lupa pula bahawa Carl merupakan ketua pengawas sekolah.
"Kau dari mana, Ben?" soal Carl lagi sambil cuba untuk menyaingi langkahku yang semakin laju.
"Bukan urusan kau." balasku pendek. Walhal tadi aku pergi melihat Insyirah dan rakan sekelasnya sedang bersukan di padang memandangkan dua masa pertama kelas 5 Teknikal 1 adalah Pendidikan Jasmani dan Kesihatan. Tidak dapat dinafikan Insyirah pandai bermain bola jaring membuatkan aku ralit melihatnya menjaringkan gol sehingga aku lupa akan kelas Biologi yang telah setengah jam bermula.
"Ben, kau marahkan aku lagi pasal hari itu, ke?" soal Carl tanpa kenal erti putus asa walaupun aku melayannya acuh tak acuh.
"Lupakan ajelah, Carl. Malas aku nak fikir. Lagipun kau tak suka aku dekat dengan Insyirah, kan? Jadi kau sibuk nak ingat fasal perkara itu, kenapa?" soalku dengan nada suara yang tinggi. Aku mempercepatkan langkah agar Carl tidak dapat menyaingi langkahku.
"Ben, aku cuma tak nak kau...."
"Tak nak aku jatuh ke lembah zina. Itu kau nak cakap, kan? Sudah lah Carl. Aku tahu dosa pahala jadi kau tak perlu sibuk hal aku!" pintasku geram sambil merenung tajam wajah tenang Carl.
Carl tersenyum. Eh, eh mamat ini. Aku sudah mengamuk macam orang gila ini pun dia boleh senyum lagi. Sakit pula hati aku!
"Ben, kau kena tahu satu perkara. Cinta Allah kepada kita lebih besar berbanding cinta manusia kepada kita. Bila hati kita dah dipenuhi dengan rasa cinta kepada Allah, kita dah tak perlukan cinta manusia apalagi cinta daripada berlainan jantina. Hadam molek." ujar Carl sambil menepuk bahuku lalu terus berlalu masuk ke dalam makmal tanpa menungguku.
Argh, aku tak boleh nak hadam kata-kata Carl tadi. Apa yang penting sekarang adalah guru Biologi pasti akan menghukumku akibat lewat memasuki kelasnya. Carl pasti boleh lepas kerana dia ada alasan yang munasabah. Aku ini, nak bagi alasan tengok awek main bola jaring, ke? Padan muka kau, Ben!
Jam menunjukkan tepat pukul 12 tengah malam. Sudah beberapa kali aku menguap menahan kantuk yang semakin menggila. Akhirnya, surat yang aku karang sejak Isyak tadi telah menemui noktah terakhir. Putus fius betul aku ini! Masa yang sepatutnya aku gunakan untuk belajar, aku isi dengan mengarang surat yang berisi luahan cinta untuk si dia. Ah, biarlah! Apa yang penting, aku boleh berikan surat ini kepada Insyirah pada esok hari.
Isi surat ini bukannya panjang berjela, cuma ada dua perenggan dan diakhiri dengan tanda tangan seorang Adam Benjamin. Cewahh! Nampak sahaja sedikit, tetapi begitu lama aku mengambil masa untuk membuat ayat manis bergula. Maklumlah, aku bukannya sejenis lelaki yang sweet talker. Pengalaman bercinta juga tidak ada. Bagaimana aku hendak berikan surat ini kepada Insyirah, itu belakang cerita. Apa yang penting, surat aku selamat berada di tangan Insyirah tanpa perkhidmatan pos laju. Chaiyok!
Baru sahaja aku ingin berjalan ke arah katil, aku teringat pada tiga keping surat yang aku terima pagi tadi. Aku menyeluk ke dalam poket paling hadapan pada beg sekolahku. Surat yang pelbagai warna dan corak aku keluarkan. Sepanjang aku bersekolah di SMK Sri Bangsar, aku sudah terbiasa mendapat surat chenta daripada peminat rahsia. Terdapat pelbagai ragam dan kata-kata terlebih gula yang kadang-kadang membuatkan aku geli nak teruskan bacaan. Ada juga yang terlalu jujur menyatakan bahawa dia ingin menjadi isteriku dan sudah bersedia berjumpa dengan ibu bapaku. Aduhai, macam-macam perempuan dengan macam-macam perangai yang complicated untuk aku faham!
Berbalik kepada tiga keping surat yang baru sahaja aku terima pagi tadi, lebih baik aku baca semuanya sekarang jadi tak adalah aku dihantui surat-surat ini setiap hari.
Surat pertama daripada Nana Azhar. Kertas berwarna merah jambu yang dihiasi dengan pelbagai pelekat itu aku buka untuk membaca isinya.
Dear, Adam Benjamin. Semoga saudara berada dalam keadaan sihat hendaknya. Tujuan saya menulis surat ini tidak lebih daripada hanya ingin mengucapkan semoga saudara berjaya dalam Sijil Pelajaran Malaysia yang akan bermula beberapa minggu sahaja lagi. Buatlah yang terbaik untuk kedua-dua ibu bapa saudara.
Akhir kata, saya sebenarnya sudah lama menyukai saudara sejak hari pertama saudara menjadi pelajar baharu di sekolah ini lagi. Saya harap saudara sudi membalas surat ini untuk mengenali saya dengan lebih rapat lagi.
Yang ikhlas,
Nana Azhar 3 Marikh 1.
Aku menepuk dahi sebaik tiba di noktah yang terakhir. Pelajar tingkatan tiga, biar betul? Alahai adik, baru aje habis PT3 dah pandai nak mengayat abang senior. Thank you, next!
Surat kedua yang terlipat kemas di dalam sampul biru pula aku buka.
Salam alayk akhi Benjamin. Akhi sihat? Nama ana, Wani. Ana dah lama perhatikan akhi Ben dengan akhi Carl. Enta berdua sweet sangat. Semoga ukhuwah enta berdua sampai syurga, ya?
Ana cuma nak minta tolong akhi kenalkan ana dengan akhi Carl. Ana berminat nak kenal dengan akhi Carl sebab dia ada ciri-ciri imam yang ana nak. Maafkan ana ya sebab ana tak pilih akhi Ben. Akhi Ben pun baik dan kacak juga cuma akhi tak seislamik macam akhi Carl.
Ana ni bertudung labuh, cantik pula tu. Jadi dah tentu ana lebih sesuai dengan akhi Carl, betul tak? Ana harap akhi Ben tak kecewa. Ana doakan akhi Ben berjumpa dengan jodoh yang lebih solehah daripada ana. Itupun kalau ada lah ya. Ana harap sangat akhi Ben sudi tolong ana dan kenenkan ana dengan akhi Carl. Tolong ya? Kalau akhi Ben sudi, boleh jumpa ana di kelas 2 Ibnu Sina bermula hari esok.
Semoga dalam jagaan Allah selalu. Yang solehah, Ukhti Wani Khayra.
Aku menghamburkan ketawa yang kuat. Sungguh, surat yang satu ini sangat-sangat kelakar. Boleh pula guna ayat islamik ditambah pula dengan tahap syok sendiri yang boleh membuatku sesiapa sahaja yang membaca surat ini pasti muntah hijau. Ya Allah, ada juga perempuan seperti ini. Fikir aku kisah sangat ke dia mahu sukakan siapa? Jika betul dia secret admirer kepada Carl pun pergilah beri surat pada Carl sendiri. Perlu ke sampai nak minta tolong aku jadi orang tengah? Aduhai, tak kuasa abang nak layan kau, dik. Baru sahaja tingkatan 2 malah kelas aliran agama pula itu, boleh pula melayan perasaan sehingga sebegitu sekali. 
Kini tiba pula surat yang terakhir. Kali ini apa pula kejutan yang menantiku?
Salam Benjamin. Fyi, ini surat yang kelima aku bagi kau. Surat-surat sebelum ni satu pun kau tak balas. Kenapa sombong sangat? Dekat public bukan main tayang senyum semanis gula. Kalau rasa tak nak, cakap aje tak nak. Janganlah bagi aku harapan palsu. Senyuman yang kau bagi tu lah harapan palsu. Orang kata kalau lelaki senyum dekat perempuan bermakna dia suka perempuan tu, betul tak? Aku tak puas hati sebab kau langsung tak layan aku sedangkan bila kita terserempak kau sentiasa senyum.
Senyuman kau tu membunuh aku tahu tak? Aku betul-betul sukakan kau, Ben. Tolonglah terima aku. Please? Aku janji aku akan jadi girlfriend yang paling baik paling sweet paling caring abad ini, okay?
Lastly, kalau surat ni pun kau tak balas, kau tunggu ajelah balasan daripada aku. Bye future boyfriend!
Yang benar,
Lysa Suri hati kau.
Kelas 4 Utarid.
Astargfirullah hal adzim.... Beristighfar panjang aku dibuatnya. Boleh pula dia ugut aku jika aku tak balas surat yang dikirimnya? Apa yang budak tingkatan 4 boleh lakukan kepada senior yang akan tinggalkan SMKSB tidak lama lagi?
Oh, aku memang murah dengan senyuman. Senyum itu kan sedekah. Jadi aku sedekahkan senyuman aku ini kepada semua orang, bukan hanya kepada si Lysa yang mengaku suri hati aku itu. Inipun spesies manusia yang suka syok sendiri. Jika surat ini daripada Lisa Surihani, boleh juga aku pertimbangkan untuk membalasnya. Ohmai, sungguh sukar untuk aku memahami sikap seorang perempuan. Mujur sahaja Insyirah lain daripada yang lain.
Ketiga-tiga surat itu aku buang ke dalam tong sampah, senasib dengan surat-surat yang aku terima sebelum ini. Aku memicit pelipis sambil memikirkan pelbagai ragam manusia di sekelilingku. Inilah masalah yang dihadapi oleh lelaki sekacak aku, diminati oleh ramai wanita. Cewahh. Namun apa yang boleh aku lakukan buat masa ini adalah bersabar. Ya, aku perlu bersabar kerana sebulan lebih sahaja lagi aku berada di sekolah itu. Tabahlah wahai hati!
"Alrightio! Jom rehat," Carl menutup buku Kimia serta menyimpan nota-nota yang berselerakan di atas meja.
Aku mengangkat muka lalu menayang sengih kepada Carl yang sudah menolak kerusinya ke bawah meja. "Hah, kenapa pula ni? Jangan cakap kau tak nak rehat. Tak payah nak tunjuk kau tu studyholic sangat eh," Carl memberi amaran.
"10 minit, boleh? Kau turun dulu, nanti aku follow. Aku nak siapkan soalan ini hah, berselirat wayar dalam otak aku dibuatnya." ujarku sambil menunjukkan soalan matematik tambahan yang masih dalam pengiraan. Aku tidak mahu terus bersikap dingin dengan Carl. Kasihan dia, setiap hari kena marah dengan aku. Kasihan juga aku, setiap hari sakit tekak sebab kerja asyik nak marah orang sahaja. 
"Hisy, macam tak boleh sambung lain kali. Nak aku tolong tak?" soal Carl.
"No, thanks. Kau turun dulu, okey?" pujukku lembut. Carl ada penyakit gastrik jadi aku tidak mahu dia mengalami sakit perut gara-gara menungguku untuk rehat bersama.
"Okey kalau kau dah cakap macam tu. Adios!" Carl terus melangkah keluar dari kelas.
Cepat-cepat aku mengemas meja sebelum turut keluar dari kelas tetapi ke arah yang berlainan. Destinasi utama adalah kelas Insyirah!
Kiri, kanan. Kiri, kanan. Line clear, oh yeahh! Aku menapak perlahan-perlahan ke kelas Insyirah melalui pintu belakang. Sekonyong-konyong telingaku menangkap suara orang mengaji sebelum sempat kakiku melangkah masuk ke dalam kelas itu. Merdunya, mashaAllah! Habis membaca satu ayat, suara itu membaca terjemahan ayat tersebut,
"Katakanlah kepada lelaki yang beriman agar mereka menjaga pandangannya dan memelihara kemaluannya, yang demikian itu lebih suci bagi mereka. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang mereka perbuat." (Surah an-Nur ayat 30)
Dushh!! Ayat yang dibacanya seolah-olah meresap masuk ke dalam hatiku yang keras. Lantas aku mengintai disebalik pintu untuk melihat pemilik suara itu. Kelihatan seorang pelajar perempuan yang sedang duduk di barisan hujung kelas pada barisan hadapan sedang tunduk membaca mushaf biru di tangannya. Tidak salah lagi itu pasti Insyirah. Entah ini heartshot kali ke berapa daripada Insyirah.
Aku melekapkan telapak tangan kananku di dada apabila merasakan dadaku sudah bertukar rentak. Kolam air mata pula mula terasa panas dengan genangan air mata yang menanti masa untuk jatuh ke pipi. Mengingatkan terjemahan ayat tadi membuatkan aku tidak dapat menahan emosi.
Ya Allah....
Ya Rabbul Izzati....
Terjemahan ayat tadi berulang kali berputar-putar di dalam kepalaku. Buat pertama kalinya aku merasakan hati aku benar-benar hidup. Dan buat pertama kali juga hati aku benar-benar terkesan dengan teguran manusia selain Carl. Sampul surat di tangan kiri ku kepal kemas sebelum aku membuang surat itu ke dalam tong sampah yang berhampiran. Otakku mula memutarkan semula kata-kata Carl yang sentiasa disemai ke dalam diri ini,
"Ben, kalau one day kau sukakan seseorang, tolong jangan cemarkan perasaan fitrah itu dengan fitnah."
Langkah ku atur laju turun dari aras tiga. Air mata yang mula menuruni pipi aku kesat dengan kura tangan sambil tidak henti aku menyalahkan diri sendiri yang buta dalam menilai. Satu-persatu teguran daripada Allah disampaikan kepadaku melalui Carl kemudian heartshot daripada Insyirah, tetapi kenapa baru sekarang teguran itu memberi kesan kepadaku? Kenapa baru sekarang aku sedar? Benarlah, hidayah itu menyapa orang-orang yang dikehendaki-Nya. Dan hari ini aku adalah hamba yang terpilih maka aku mesti menyambut hidayah itu sebelum menyesal di kemudian hari.
Carl, aku minta maaf sebab jadi seorang sahabat yang paling teruk di dunia!
Di pertengahan jalan ketika menuruni tangga, aku terlanggar seseorang. Aku memohon maaf beberapa kali tanpa mengangkat muka namun tangan lelaki itu memegang kejap bahuku.
"Ben, kau kenapa?"
Ya Allah, itu sahabat aku. Haikal Ariffin.
Pantas kubawa tubuh tegap itu ke dalam pelukan. "Bro, sorry for everything. Sorry sebab tak dapat jadi kawan yang baik untuk kau. Sorry sebab selalu marah-marah kau. Sorry sebab tak dengar nasihat kau. Sorry sebab tak hargai kau. Sorry sebab tak layan kau beberapa hari ini. Sorry sebab jadi kawan paling tak guna dalam hidup kau. Sorry, Carl. Tolong maafkan aku. Tolong jangan serik berkawan dengan aku. Tolong... jangan pergi dari hidup aku. Tolong...." tuturku dengan esak tangis yang tidak dapat dikawal lagi. Ah, biarlah Carl atau pelajar-pelajar lain yang melihat keadaanku sekarang nak kata aku buang tabiat atau apa. Aku benar-benar rasa sangat bersalah dengan Carl.
Belakang badanku ditepuk lembut oleh Carl. Terdengar lelaki itu membisikkan selawat ke telingaku berkali-kali. Nafasku mula teratur dan air mata yang tadinya berlumba-lumba menuruni pipi kini sudah dapat kukawal. Pelukan dileraikan oleh Carl. Dia merenung dalam anak mataku sambil tersenyum nipis. Dapat kulihat matanya juga bergenang dengan air mata namun seperti biasa, Carl lebih bijak mengawal emosi.
"Semuanya aku dah maafkan. Now, tell me. Kenapa romeo sekolah menangis ni?" soalnya sambil mengangkat sebelah keningnya. Kerutan di dahinya juga jelas kelihatan. Sah, mesti Carl fikir aku buang tabiat.
Aku menyuakan tangan kanan untuk bersalaman. Teragak-agak Carl ingin menyambut sebelum akhirnya dia menggenggam kemas tanganku dengan senyuman manis.
"Your dua' was approved. Allah dah lembutkan hati aku. So, can I be your sahabat fillah?" soalku tanpa menjawab soalannya. Biarlah apa yang aku alami sebentar tadi menjadi rahsiaku dengan Tuhan.
"Hm... How about your new crush?" Sengaja Carl ingin mengujiku.
"Jangan cemarkan fitrah dengan fitnah, remember?" Aku menayang sebaris gigi putihku. Serentak ketawa kami menjadi satu.
"Dah, lap air mata tu. Nampaknya esok mesti isu tentang romeo sekolah menangis sambil berpelukan dengan sahabatnya akan tersebar ke pengetahuan warga sekolah." seloroh Carl sambil memuncungkan bibirnya ke arah sekelompok pelajar yang sedang memerhatikan drama di antara aku dan Carl. Aku membeliakkan mata tanda terkejut.
"Hei, bersurai semua! Tengok apa? Ada hutang?" marahku sambil menahan malu. Aduh, aku betul-betul perlukan sebuah guni sekarang!
Ketawa daripada kumpulan pelajar itu meledak. Aku menyilangkan tangan di dada sebagai tanda protes apabila melihat Carl turut mentertawakanku.
"Okey semua masuk kelas sekarang! Masa rehat dah habis, tunggu apa lagi?" Akhirnya seorang ketua pengawas bersuara juga. Tanpa berlengah, pelajar-pelajar itu terus berlari ke kelas masing-masing kerana bimbang Carl mengambil tindakan ke atas mereka.
"Jomlah masuk kelas. Tak fasal-fasal kena denda jalan itik kat luar kelas pulak," bebelku.
"Eh, sebelum tu kita pergi makan dulu. Kau dengan aku tak sempat makan gara-gara drama secara langsung tadi, tau?" kata Carl lalu menarik lenganku agar mengikuti langkahnya.
"Woo woo. Bro, kau kata tadi rehat dah habis kan? Nak kena kejar dengan cikgu disiplin ke kalau dia nampak kita dekat kantin sekarang ni?" soalku apabila melihat Carl dengan berani melangkah ke arah kantin sekolah.
"Tak apa, harini kita buat kesalahan sikit. Nanti pandai-pandai lah aku cakap kalau cikgu tanya. Dan aku belanja kau harini. Kau lupa ke aku ni ketua pengawas? Jadi serahkan semuanya pada aku!" ujar Carl sambil menepuk dadanya.
"Err..."
"Thanks me later!" potong Carl lalu ketawa.
"Carl, aku nak minta tolong sikit, boleh?"
"Tolong apa?"
"Tolong ajar aku baca al-Quran?"
Langkah Carl terhenti. Sesaat kemudian, dia tersenyum sambil menepuk bahuku. "Boleh. InsyaAllah, Ben."
Aku menahan sebak. Janganlah air mata nak mengalir di tempat terbuka begini. Aku dah cukup malu sebab menangis tadi. Aku harap suatu hari nanti mama dan papa juga akan berubah dan mempraktikkan Islam dalam kehidupan mereka. Aku bukan sahaja nak masuk syurga dengan Carl, tapi dengan mama dan papa juga.
Ini kisah tentang bagaimana seorang Adam Benjamin jatuh cinta dengan sepotong ayat cinta dari Ilahi. Dan bagaimana akhirnya aku mengenal antara cinta berlandaskan nafsu dengan cinta Ilahi. Pengajarannya, jangan jadi macam aku. Wahaha!
TAMAT•
Follow Wattpad @hanisalysa untuk membaca lebih banyak novel dan cerpen dari saya. Terima kasih atas sokongan! :)


Comments

Popular posts from this blog

FREE PRINTABLE MUTABAAH AMAL

AKU CINTA RAMADHAN!