HIJRAH BAB 20
KEESOKAN harinya, walimatul urus sebelah pengantin perempuan diadakan di rumah banglo Dato Hamdan. Lapan buah khemah telah didirikan untuk lebih 2000 tetamu yang dijemput. Tetamu yang dijemput termasuk rakan perniagaan Dato Hamdan serta orang-orang ternama yang lain. Ikutkan kemahuan Humaira, dia tidak mahu terlalu ramai tetamu yang dijemput supaya dapat berjimat untuk catering dan sebagainya. Tetapi setelah Dato Hamdan memujuk mahu membayar makanan dan khemah, Humaira terpaksa mengalah. Lagi pula tidak manis jika rakan perniagaan Dato Hamdan tidak dijemput ke majlis perkahwinan anaknya sendiri. Mengikut aturcara majlis, persandingan bermula selepas solat Zuhur. Seperti yang dirancang, semua ahli keluarga yang hadir sebelum persandingan bermula, perlu menyertai solat Zuhur berjemaah yang diimamkan oleh pengantin lelaki.
"Nervousnya..." keluh Khai sambil membetulkan kain pelikat di hadapan cermin.
Humaira yang sedang melangkah ke almari bajunya untuk mengambil telekung memandang sekilas ke arah Khai yang seolah sedang bercakap seorang diri. Bibirnya mengukir senyuman nipis apabila memikirkan bahawa dia sudah menjadi isteri yang sah buat Adam Khairul.
"Abang okey tak?" tegur Humaira lembut. Kopiah yang terletak di atas meja solek diambil lalu dipakaikan di kepala Khai. Khai tersenyum nakal mendengar panggilan 'abang' yang keluar dari mulut isterinya.
"Kan sedap telinga mendengar bila Mai panggil abang. Ini tak, kau-aku yang tak sweet langsung!" kata Khai sarkastik. Tangannya spontan membetulkan telekung si isteri.
Humaira memutarkan bebola matanya. Jika bukan kerana malam tadi dia ditegur oleh Khai yang mahu menukar panggilan antara mereka, agaknya sekarang dia masih berkau-aku dengan suami sendiri. Banyak kali juga dia tersasul memanggil nama Khai di hadapan keluarga mereka. Bukan apa, sejak dia mula berhijrah, dia sudah nekad untuk sentiasa bertegas dengan lelaki yang bukan mahram. Sebab itu juga dia selalu bersikap kasar terhadap Khai supaya pergaulan mereka terjaga dan Khai tidak melihat sisi manja dirinya. Lama kelamaan benda itu jadi kebiasaannya untuk tidak melembutkan suara atau menayang manja pada lelaki. Sampaikan penjual di pasar malam, pekerja kedai makan, pembancuh kopi dan penjaga kaunter pun Humaira selamba panggil 'bro', bukan 'abang'. Baginya, panggilan abang itu hanya untuk ahli keluarga dan suaminya sahaja.
Humaira masih ingat ketika ada seorang lelaki menghalang laluannya dalam kesesakan pasar pagi, dengan selamba Humaira menegur, "Bro, tepi sikit saya nak lalu." Dan ketika dia tidak menemui kuliyyah perubatan di universiti lalu mahu bertanya seorang lelaki tentang kedudukan kuliyyah tersebut, "Assalamualaikum, bro tahu kat mana kuliyyah of medicine?" sambil tayang muka tanpa perasaan. Ohmai!
"Oit, termenung apa?" Khai memetik jarinya tepat di hadapan wajah si isteri yang leka melayan perasaan. Menyempat pula budak ni!
"Err... sorry. Abang dah siap? Jom, mesti yang lain dah tunggu."
"Sayang, abang nervous. Pertama kali kena jadi imam untuk 20 orang makmum. Itu tak campur dengan family abang lagi. Ramai juga family sayang eh," Khai meluahkan rasa hati kepada Humaira. Sejujurnya, dia tidak pernah menjadi imam kepada ramai makmum. Selama ini dia hanya pernah menjadi imam kepada ibu dan Ain saja di rumah. Itupun masih banyak yang kurang dengan bacaan surah-surah pendek.
Humaira tertawa kecil melihat wajah tidak puas hati suaminya. "Abang kena biasakan diri mulai sekarang. Mana tahu nanti kena jadi imam surau atau masjid pula? Abang juga pesan semalam, keterpaksaan itu akan melahirkan keikhlasan. Mula-mula mungkin saya tak biasa panggil awak abang, dah lama nanti lembut je lidah ni nak panggil abang setiap masa hahah," Seloroh Humaira. Dia cuba untuk menghilangkan sedikit gemuruh di hati Khai.
"Macam abang, tak biasa jadi imam untuk makmum yang ramai. Bila dah selalu buat, dah lama nanti terbiasa." Sambung Humaira lagi.
"Betul juga tu. Nanti boleh abang isi kuota makmum yang kosong lagi tiga tu," Khai ketawa besar.
Humaira menjenggilkan anak matanya. "Amboi, baru sehari kahwin dah ada niat nak pasang lain eh?" ujar Humaira bersama cubitan di lengan sasa Khai.
"Sorry sayang, abang gurau aje,"
"Takpe. Jadi, kita sama-sama sedang berhijrah menjadi lebih baik. Mai harap abang tak jemu pimpin tangan Mai sampai syurga. Banyak lagi benda yang kita kena belajar. Mai teringin nak pergi majlis ilmu dengan abang, usrah dengan abang dan travel bumi milik Allah ni sama-sama. Dan Mai harap, abang mampu jadi abi yang baik untuk anak-anak kita nanti." ujar Humaira dengan senyuman manis.
Kata-kata Humaira menyentuh sekeping hati milik Khai. Belum sempat Khai meluahkan rasa, Humaira terlebih dahulu menyuarakan harapan dan impiannya. "InsyaAllah sayang. Terima kasih sudi terima abang yang biasa-biasa ni. Abang tak boleh janjikan rumah sebesar istana, hidup mewah dan kereta besar. Tapi abang akan usaha kuat untuk bahagiakan Mai dunia akhirat."
"Mai faham. Asalkan abang ada selalu dengan Mai pun dah cukup,"
Khai mengusap kepala Humaira yang diliputi telekung putih. "Kita tak boleh nak curaheart lama ni sayang. Mesti diaorang tengah tunggu imam dan seorang makmum yang dah lambat ni," usik Khai apabila menyedari mereka sudah melengahkan solat Zuhur berjemaah bersama keluarga.
***
Majlis persandingan bermula tepat jam 2.45 petang. Tetamu yang hadir mula beransur memenuhi khemah untuk menjamu selera. Suasana agak hangat dengan sanak-saudara serta tetamu ternama yang dijemput bagi memeriahkan majlis. Pasangan pengantin baru dengan sabar menayang senyuman manis dengan pelbagai aksi dan gaya demi menyempurnakan sekeping gambar. Sama seperti malam akad nikah, Humaira hanya berhias sederhana dengan gaun pengantin berwarna biru lembut.
Persandingan serba ringkas itu diserikan lagi dengan pelamin bertema taman yang didekorasikan di dewan besar bersebelahan rumah banglo Dato Hamdan. Atas permintaan Humaira yang menyukai alam kehijauan, dia mahukan pelamin itu diberi sentuhan berwarna hijau dan putih.
Azan Asar yang mengamit ke langit menandakan persandingan pasangan pengantin itu telah tamat. Humaira dan Khai segera membersihkan diri untuk menunaikan solat Asar secara berjemaah sebelum kembali melayan tetamu yang hadir. Tidak seperti kebanyakan pasangan raja sehari yang leka meraikan perkahwinan mereka, ada yang sengaja melewatkan solat malah sanggup meninggalkannya. Ada juga pengantin wanita yang tidak sanggup menanggalkan solekan di wajah untuk mengambil wuduk.
Bagaimana boleh mereka mendahului sesuatu selain panggilan dari Allah, sedangkan yang menyatukan mereka sebagai pasangan yang halal adalah Allah?
Bagaimana boleh mereka bergembira tanpa menunaikan solat, sedangkan yang memberi kelancaran majlis adalah Allah juga?
"Penatnya senyum! Mai rasa urat di bibir macam nak putus." Seloroh gadis itu kepada sang suami yang sedang membentangkan sejadah. Mujur persandingan setakat dua jam lebih sahaja. Selepas ini mereka mahu melayan tetamu di ruang makan pula.
Gurauan Humaira telah meledakkan ketawa dari Khai. Dia faham benar perasaan Humaira saat ini. Dia juga merasa penat dan lenguh untuk mengukir senyuman. Ditambah pula dengan pelbagai kerenah tetamu yang mahukan gaya berbeza dari mereka.
"Abang faham. Untuk dua tiga hari ini, sabar sikit ya? Lusa majlis di rumah keluarga abang pula. Hari itu abang tak jemput ramai pun, hanya saudara mara dan kawan-kawan." Khai memujuk Humaira agar terus bersabar untuk menjayakan majlis perkahwinan mereka. Mereka mesti sentiasa tenang dan bertolak ansur supaya tidak berlaku salah faham. Selain pengantin yang kepenatan melayan tetamu, tidak lupa keluarga pengantin juga bertungkus lumus untuk memastikan majlis berada dalam kawalan. Masing-masing mempunyai tugas yang diamanahkan kepada mereka.
Humaira mengangguk mengerti. Dia harus berlapang dada dan selalu bersyukur dengan apa yang dia miliki sekarang. Tanpa pergantungan yang kuat pada Allah, mana mungkin semua yang dirancang akan menjadi kenyataan. Sesungguhnya segala pujian hanya layak diberi pada Allah yang Maha Berkuasa di atas segala sesuatu.
***
"Wah, bagai pinang dibelah dua!" usik Ben sebaik tiba di hadapan pasangan pengantin baru itu.
Khai terpempan dengan kehadiran ahli Knight. Lima orang lelaki yang segak berpakaian baju melayu bersalaman dan memeluk Khai. Mereka saling bertanya khabar dan mengusik antara satu sama lain. Humaira yang berdiri di sisi Khai hanya tersenyum menyambut kehadiran Knight. Khai memberi isyarat mata kepada Ben. Seolah memahami apa yang dimaksudkan oleh Khai, Ben membalas dengan gelengan lemah. Kehadiran mereka berlima tidak lengkap tanpa Aizad. Khai terpaksa mengalah kerana tiada antara ahli Knight yang berjaya memujuk Aizad untuk meraikan hari bahagiannya. Mungkin, Aizad tidak lagi menganggap Khai sebagai sahabat.
"Tahun depan giliran Radz pula kan?" usik Khai disambut dengan ketawa nakal dari yang lain.
"Eh, bukan ke Kim kata nak kahwin dulu selepas Khai?" Radz cuba untuk mengelak dari menjadi sasaran rakan-rakannya. Enam pasang mata terus mengalihkan pandangan mereka kepada Kim yang sedang menayang riak selamba.
"No comment, bro. Kalau nak tahu, Ben tu yang sedang hangat bercinta sekarang!" kata Kim lalu memuncungkan bibirnya ke arah Ben yang sedang mentertawakannya.
Ben yang mendengar namanya dipetik oleh Kim segera menyilangkan tangan membentuk huruf X untuk menafikan kenyataan dari lelaki itu. "Mana ada, Kim sengaja buat cerita!" Nafi Ben bersama jelingan tajam ke arah Kim.
"Hish kauorang ni. Sebenarnya semua dah ada calon kan? Dah, jangan nak saling tunding jari. Kalau serius, terus jumpa orang tua dia. Ini tidak, ke hulu ke hilir dengan anak orang. Tak gentleman langsung!" kata Khai sekadar ingin memberi nasihat kepada rakan-rakannya. Harapannya, suatu hari nanti mereka juga mendapat taufik dan hidayah untuk berubah menjadi seorang muslim yang lebih baik.
Lima lelaki itu hanya tersengih sambil menggosok belakang kepala. Jauh di sudut hati, mereka membenarkan kata-kata Khai. Cuma buat masa ini tiada yang serius dengan hubungan yang mereka tidak pasti hala tujunya.
"Aduh, perut aku dah main drum ni. Bila kitaorang dapat makan, wahai tuan rumah?" soal Leo yang tadi hanya berdiam diri. Kembarnya, Lee disebelah mengangguk laju mengiakan rungutan Leo.
Khai dan Humaira saling berpandangan sebelum meletuskan ketawa. Inilah jadinya bila lama tak jumpa, ada saja perkara nak dibualkan. Tetapi Khai tetap merasa kosong hari ini. Seseorang yang dia amat sayangi tidak hadir untuk meraikan kegembiraan bersama. Tiada sesiapa mampu mengisi kekosongan hati yang sudah terlakar nama Aizad Hakim. Maih marahkan lelaki itu kepadanya?
"Jemput makan, semua. Dah siap makan nanti pergi hall untuk bergambar, tau!" pesan Khai.
***
3 HARI KEMUDIAN...
Beg galas dan bagasi yang berisi pakaian diletakkan di tangga. Dengan langkah yang perlahan, dia berjalan menuju ke ruang tamu. Dato Zikri, Datin Zahra dan Alia yang sedang menonton tayangan drama di Astro Ria masih tidak menyedari figura manusia yang sedang berjalan ke arah mereka. Jantung Aizad berdegup laju. Dia tidak tahu bagaimana mahu bereaksi di hadapan ahli keluarganya.
"Assalamualaikum..." Satu suara yang sudah lama tidak bergema di dalam rumah itu menyentak tiga manusia yang sedang rancak berbual. Pandangan mereka dialihkan kepada si empunya suara.
"Aizad!" Serentak nama itu disebut oleh Dato Zikri dan Datin Zahra. Alia juga terkejut dengan kehadiran abangnya namun dia mengawal riak agar kelihatan tenang. Aizad segera mendakap Dato Zikri diikuti dengan Datin Zahra.
"Jad minta maaf sebab dah menyusahkan semua orang. Jad minta maaf sebab kurang ajar dengan mama dan papa. Jad harap kalian boleh maafkan Jad. Jad janji tak akan ulangi lagi kesalahan yang sama." Mohon Aizad bersungguh-sungguh sambil mengangkat lima jari tangan kanannya sebagai bukti ikrar.
Datin Zahra mengalirkan air mata kegembiraan dengan kepulangan Aizad. Dia sangka dia akan kehilangan satu-satunya anak lelaki yang menjadi harapan dalam keluarga ini. Dato Zikri menepuk perlahan bahu anak sulungnya. "Papa dan mama dah lama maafkan Jad. Puas kami cari Jad. Kami cuba hubungi Jad tapi nombor telefon Jad dah tak aktif. Alia dah emel Jad pun tak balas. Akhirnya kami hentikan pencarian sebab kami nak bagi masa untuk Jad tenangkan diri. Kami yakin Jad akan kembali." Terang Dato Zikri.
Aizad tersenyum dengan rasa terharu. Dia teringat pada malam pernikahan Humaira dan Khai, dia telah mematikan nombor telefonnya agar tidak dapat dihubungi oleh sesiapa. Ketika itu dia dikuasai oleh ego dan emosi. Ikutkan dia mahu lari dari semua orang dan bina kehidupan baru tanpa orang yang dikenali. Tetapi Aizad tidak dapat menafikan bahawa air yang dicincang tak akan putus. Walau sejauh mana dia pergi, dia tidak akan mampu melupakan atau membuang keluarganya.
Sedang masing-masing melayani perasaan gembira dengan kepulangan Aizad, satu suara berdehem di belakang mereka. Pandangan Aizad jatuh kepada Alia yang setia berdiri di belakang Datin Zahra. Ketawa kecil terletus dari bibir Aizad. Hampir saja dia terlupa akan adiknya yang satu itu. Alia tersenyum sambil mengangkat keningnya ke arah Aizad.
"Ya Allah adik abang. Meh sini abang nak peluk!" kata Aizad kemudian segera menarik Alia ke dalam dakapannya.
"Welcome back, abang." ucap Alia perlahan. Dia seolah kehilangan kata-kata. Hanya Tuhan saja tahu bertapa dia sangat bersyukur melihat Aizad di hadapannya kini.
"Abang nak minta maaf dekat Alia juga. Maafkan abang sebab tak mampu jadi abang yang baik untuk adik kesayangan abang ni," Aizad tidak menafikan sokongan yang diberikan oleh Alia pada malam itu sangat bermakna buatnya. Agaknya jika Alia tidak memujuknya kembali ke rumah, dia pasti sudah benar-benar putus asa dan menyangka tiada yang menyayanginya lagi.
"Adik dah maafkan." Pelukan mereka semakin erat sebagai cara melepaskan rindu yang semakin mencengkam jiwa.
Nabi ﷺ bersabda: مَنْ لَا يَرْحَمْ لَا يُرْحَمْ "Barang siapa yang tidak menyayangi, maka dia tidak akan disayangi." [HR. Muslim no. 2318]
Comments
Post a Comment