HIJRAH BAB 21 (LAST CHAPTER)



BISMILLAH. LAST CHAPTER, 3022 WORDS. ENJOY YOUR READING! :)

SEMINGGU telah berlalu sejak akad nikah yang menyatukan Humaira dan Khai. Dua hari sebelumnya, mereka telah berpindah ke rumah yang dihadiahkan oleh Dato Hamdan yang terletak di Kota Damansara. Walaupun Khai sudah bertegas untuk tidak menerima sebarang bentuk bantuan daripada keluarga Humaira, Dato Hamdan tetap berkeras mahu memudahkan kehidupan pasangan itu. Pada awalnya, Khai sudah berhasrat mahu mengusahakan sendiri pembelian rumah pertamanya demi keselesaan Humaira dan bakal anak-anaknya nanti. Tetapi setelah dipujuk oleh Dato Hamdan, Khai terpaksa akur dengan kemahuan bapa mertuanya itu.
"Papa harap kamu tak keberatan untuk terima hadiah daripada papa ni. Papa cuma nak kehidupan anak menantu papa selesa," pujuk Dato Hamdan sambil menyuakan segugus kunci kepada Khai.
Khai kehilangan kata. Kunci yang disuakan oleh Dato Hamdan tidak disambut. "Saya minta maaf, pa. Tapi saya rasa serba salah nak terima pemberian papa ni. Lagipun papa dah banyak tolong mudahkan majlis perkahwinan kami." Ujar Khai dengan kembali mengingatkan majlis perkahwinan yang separuh daripada jumlah pembelanjaannya telah ditanggung oleh Dato Hamdan. Khai memberanikan diri untuk bertentang mata dengan lelaki di hadapannya itu. Khai tidak mahu dilihat sebagai menantu yang bersenang lenang dengan kekayaan keluarga isterinya. Kalau boleh dia mahu berusaha dengan titik peluhnya sendiri untuk memberikan keselesaan kepada Humaira.
Dato Hamdan tersenyum melihat kerendahan hati menantunya. "Papa faham. Beginilah, ini kali terakhir papa beri hadiah pada kamu. Selepas ini kamu mesti usahakan sendiri. Kali ini papa harap kamu terima rumah yang papa belikan. Anggap saja ia sebagai hadiah perkahwinan untuk kamu berdua." Dato Hamdan masih tidak berputus asa agar Khai menerima pemberian ikhlas darinya.
Nafas dihela dengan lemah. Khai tidak tahu cara apa lagi untuk menolak. Kunci ditangan Dato Hamdan disambut. "Terima kasih, pa. InsyaAllah saya akan jaga anak papa macam saya jaga nyawa saya sendiri."
Lamunan Khai terhenti apabila Humaira masuk ke dalam bilik. Khai berpura-pura membetulkan kedudukan kotak-kotak hadiah perkahwinan yang diterima oleh mereka. Selepas seminggu majlis berlalu, baru hari ini mereka berkesempatan untuk membuka satu-persatu hadiah tersebut.
"Abang dah sedia? Lets unboxing wedding presents!" kata Humaira dengan penuh semangat. Gadis itu mengambil tempat duduk di hadapan Khai. Timbunan hadiah yang perlu dibuka berada di sebelah kiri mereka.
Khai tersenyum melihat kesungguhan isterinya. Kedudukan silanya diperkemaskan. Pagi itu, mereka menghabiskan masa untuk membuka hadiah sambil mengemas rumah. Khai tidak menyangka mereka menerima hadiah yang tinggi nilainya, bukan hadiah perkahwinan yang biasa dia lihat. Tidak terucap kata syukur dengan hadiah yang mampu memenuhi kelengkapan dapur mereka. Sebut saja, pelbagai barangan elektrik yang diterima kebanyakannya daripada rakan-rakan Dato Hamdan dan isteri.
"By the way, semalam Fatihah dah hantar gambar masa malam akad nikah. Abang nak tengok?" Humaira mengeluarkan telefon bimbitnya sebaik teringat akan gambar-gambar yang dihantar oleh photographer wanita yang ditugaskan untuk merakam memori indah mereka.
Khai hanya menggeleng sambil tangannya tidak henti membuka kotak hadiah. Khusyuk betul! Humaira melihat satu-persatu gambar ketika malam akad nikah itu. Rasa mahu ketawa pun ada melihat diri sendiri yang acah malu ketika sesi pembatalan air wuduk. Dia sangat berpuas hati dengan hasil kerja Fatihah. Semua gambar yang diambilnya cantik dan berkualiti. Humaira paling suka tengok gambar yang memaparkan aksi spontan dia dan Khai. Salah satunya gambar yang menunjukkan wajah marah Humaira serta riak wajah nakal Khai. Agaknya gambar itu diambil ketika Khai mengusik tentang penampilannya pada malam itu.
Jari Humaira berhenti dari menatal skrin telefon bimbit apabila dia menyedari sesuatu. Dia merenung lama sekeping gambar yang menunjukkan sesi bacaan doa. Puas gambar itu dikecilkan dan diperbesarkan untuk memastikan apa yang dilihatnya tidak salah. Humaira kembali melihat beberapa gambar sebelumnya yang terdapat para tetamu. Humaira terpempan. Tidak salah lagi, figura manusia yang berada di dalam gambar itu adalah seseorang yang sangat dia kenali.
"Abang, cuba tengok ni," Humaira segera menghampiri Khai untuk menunjukkan gambar yang terpapar di skrin.
"Sekejap..." Khai menjawab acuh tidak acuh. Matanya tidak lepas dari memandang kad ucapan serta sekotak hadiah di tangannya. Ucapan pada kad itu dibaca berulang kali dengan perasaan tidak percaya. Kolam air matanya terasa panas. Dia tidak sangka pemberi hadiah itu sudi datang ke majlis perkahwinannya.
"Abang, kenapa ni?" soal Humaira panik apabila melihat Khai menitiskan air mata. Pipi lelaki itu diusap lembut. Humaira takut sekiranya ada kesalahan yang tidak sengaja mrngguris hati Khai.
"Sayang, Aizad datang majlis kita..." ujar Khai perlahan. Dia masih dibelenggu dengan rasa tidak percaya. Boleh jadi hadiah itu dikirim oleh seseorang bagi pihak Aizad.
Humaira tersenyum. Jadi benarlah apa yang dilihatnya di dalam gambar tadi. Aizad adalah salah seorang tetamu pada malam itu yang tidak sengaja tertangkap oleh kamera. Mungkin tanpa gambar itu, mereka tidak akan tahu bahawa Aizad ada pada malam itu.
Belakang badan Khai diusap lembut untuk meredakan tangisan lelaki itu. Humaira faham benar apa yang dirasakan oleh Khai saat ini. Aizad sangat istimewa di dalam hati seorang Adam Khairul sehingga apa saja yang berkaitan dengan lelaki itu pasti akan membuatkan Khai menangis. Humaira masih ingat kekecewaan yang dizahirkan oleh Khai selepas akad nikah pada malam itu. Khai meluahkan kepada Humaira betapa dia sangat kecewa kerana Aizad tidak hadir. Bukan itu saja, Khai turut menimbulkan sangkaan bahawa Aizad tidak lagi sayang padanya.
Namun tanpa mereka sedari, lelaki itu hadir untuk menyaksikan akad nikah yang dilafazkan oleh Khai sehinggalah pada saat kali pertama Humaira bersalaman dengan Khai. Aizad menyaksikan semua itu tanpa senyuman atau rasa marah. Malah selepas itu dia berlalu keluar dari masjid kerana tidak sangka dengan apa yang dilihatnya. Di antara rasa gembira akan perkahwinan seorang sahabat dengan rasa sedih kerana Humaira, perasaan itu menjadi satu dalam hati. Kehadiran Aizad membuktikan bahawa dia masih mengotakan janjinya pada Khai beberapa tahun lalu. Dan ia juga menjadi bukti bahawa Aizad masih menganggap Khai sebagai sahabat.
"Abang tak sangka dia datang. Berdosanya abang sebab fikir bukan-bukan pasal dia," keluh Khai. Kad ucapan yang berada di tangannya dipandang sekilas.
'Congrats, sahabat. Semoga bahagia dunia dan akhirat. 😊 -AH'
"Dia masih sayang abang, tau. Lepasni jangan fikir bukan-bukan lagi, okey?" Nasihat Humaira lalu menyuakan telefon bimbitnya kepada Khai. Dia mahu Khai melihat sendiri gambar Aizad di dalamnya.
Humaira tahu apa yang terjadi antara Khai dan Aizad. Semuanya sudah diceritakan oleh Khai kepadanya. Walaupun sukar untuk Aizad menerima kenyataan bahawa hubungan mereka tidak sampai ke jinjang pelamin seperti yang diharapkan, seharusnya Aizad bersyukur kerana Humaira berada di bawah jagaan lelaki yang baik seperti Khai.
Sejujurnya, Humaira cemburu melihat persahabatan dua lelaki itu. Kesetiaan mereka diuji kerana cinta, tetapi ujian itu tak mampu memutuskan persahabatan itu. Kejujuran mereka juga diuji kerana cinta, tetapi ujian itu mengukuhkan lagi persahabatan yang terjalin. Gandingan antara Aizad yang kuat cemburu dan Khai yang sabar melayani, mencorakkan ukhuwah yang super indah antara mereka.
Sekonyong-konyong Surah al-Furqan ayat 27 hingga 29 bermain di dalam kepala Humaira. Melalui ayat tersebut jelas Allah beritahu tentang kepentingan memilih sahabat yang baik. Dalam ayat pertama Allah sebut,
وَيَوْمَ يَعَضُّ ٱلظَّالِمُ عَلَىٰ يَدَيْهِ
"Dan perihal hari orang-orang yang zalim menggigit kedua-dua tangannya(marahkan diri sendiri)"
Ayat ini menggambarkan betapa dasyatnya penyesalan di akhirat oleh orang yang tersalah memilih sahabat di dunia. Kemudian Allah sambung lagi,
يَقُولُ يَٰلَيْتَنِى ٱتَّخَذْتُ مَعَ ٱلرَّسُولِ سَبِيلً
"...sambil berkata, "Alangkah baiknya kalau aku (di dunia dahulu) mengambil jalan yang benar bersama-sama Rasul?" (25:27)
Melalui ayat ini, mereka bagitahu yang mereka tak ambil jalan Rasul. Dengan kata lain, mereka tak amalkan sunnah Rasul ketika di dunia. Mereka abaikan sunnah Rasul sebagai cara hidup kerana lebih memilih cara hidup Barat. Kemudian, mereka ini salahkan sahabat mereka. Ayat seterusnya Allah gambarkan mereka berkata,
يَٰوَيْلَتَىٰ لَيْتَنِى لَمْ أَتَّخِذْ فُلَانًا خَلِيلً
"Alangkah celakanya aku, alangkah baiknya kalau aku tidak mengambil si dia itu menjadi sahabat karib!" (25:28)
Dalam ayat ini Allah gunakan (fulanan) yang bermaksud orang atau kawan. Bermakna, ketika itu mereka tak ingat pun siapa kawan mereka di dunia. Ibaratnya mereka ini mengeluh di akhirat tentang sahabat mereka. Kemudian, ayat seterusnya mereka mengakui bahawa,
لَّقَدْ أَضَلَّنِى عَنِ ٱلذِّكْرِ بَعْدَ إِذْ جَآءَنِى
"Sesunggunya dia telah menyesatkan aku dari jalan peringatan (al-Quran) setelah ia disampaikan kepadaku..."(25:29)
Ayat ini jelas menunjukkan yang ketika di dunia, mereka telah dinasihatkan oleh orang lain supaya menjauhi maksiat tetapi mereka lebih memilih untuk berkawan dengan orang yang jauh dari Allah. Akhirnya, mereka menyesal sehingga menggigit tangan mereka di akhirat.
Sebenarnya, memilih sahabat yang baik tidaklah sukar seperti yang disangka. Walau apa saja ujian yang melanda sebuah persahabatan, jika dia bersabar dan sentiasa mengingatkan sahabatnya tentang Allah maka dia adalah sahabat yang baik.
Telefon bimbit yang berbunyi telah menamatkan lamunan Humaira. Kelihatan Khai yang sedang memasukkan sampah ke dalam plastik bergegas mendapatkan telefon bimbitnya di atas meja. Nombor yang tidak dikenali terpapar di skrin. Tanpa rasa curiga, Khai terus menjawab panggilan itu.
"Hello, siapa ni?"
Perubahan riak wajah Khai telah menarik perhatian Humaira. Gadis itu terus bertanya tentang gerangan pemanggil di hujung talian. Khai memandang Humaira dengan senyuman lebar.
"Aizad ajak jumpa."
***
8 BULAN KEMUDIAN...
Petang itu, pertemuan ringkas diadakan di rumah Humaira. Pondok kayu yang berhias pohon menjalar serta dikelilingi oleh bunga-bunga yang mekar menjadi tempat mereka minum petang pada hari itu. Awan redup berarak di langit diikuti angin yang bertiup lembut mengusir cuaca panas yang sudah beberapa hari tidak berubah.
Suasana petang itu dimeriahkan oleh perbualan rancak antara satu sama lain. Lima orang jejaka Knight sibuk berbual sesama mereka sambil membakar BBQ berhampiran pondok. Sesekali perbualan antara mereka diselangi dengan ketawa dan sorakan kuat. Entah apa topik yang sedang dibualkan sehingga sebegitu sekali reaksi yang ditunjukkan.
"Aku rasa kita kena buka satu cawangan dekat Pahang. Bagi aku, Pahang antara negeri yang ramai pelancong disebabkan oleh pelbagai makanan yang menarik. Kita boleh tambah menu ikan patin masak tempoyak yang menjadi kegilaan penduduk di sana. Fuh, confirm gempak!" ujar Aizad dengan penuh semangat.
Khai mengangguk setuju mendengarkan cadangan dari Aizad. "Bagus idea kau itu. Kebetulan aku dan Humaira akan sambung pelajaran di salah sebuah universiti di sana. Senang kitaorang berulang alik pergi ke restoran tu nanti."
Siapa sangka, rezeki selepas berkahwin memberi peluang kepada Khai untuk membuka lebih banyak cawangan restoran ibunya. Restoran asal yang terletak di Shah Alam kini diuruskan oleh Khai selama beberapa bulan ini sebelum dia dan Humaira menyambung pengajian di negeri yang sama. Baginya, menuntut ilmu tidak menghalang dia untuk bekerja pada masa yang sama. Lagi pula tanggungjawabnya semakin bertambah dengan kehadiran cahaya mata yang pertama tidak lama lagi. Tiada apa yang lebih menggembirakan seorang anak selain dapat memberikan wang belanja kepada ibu bapa setiap bulan serta dapat menyediakan keperluan yang cukup untuk isterinya.
Humaira dan Amira keluar dari dapur sambil membawa pancake sebagai pencuci mulut. Langkah diatur dengan cermat ke arah pondok di mana Khai dan Aizad sedang bermesyuarat mengenai penambahan cawangan restoran milik Khai.
Kehadiran mereka membantutkan seketika perbualan antara Aizad dan Khai. Dua buah bekas yang berisi pancake diletakkan di tengah-tengah antara mereka.
"Terima kasih, sayang. Jemput makan, Jad. Guys, meh sini rasa pancake ni dulu." Pelawa Khai.
Ben, Kim, Radz, Leo dan Lee yang sedang rancak berbual segera menghampiri pondok. Kedatangan mereka ke rumah Khai akibat termakan dengan pujukan Aizad yang mahu mereka ada bersama. Latihan papan luncur yang diadakan pada setiap petang terpaksa dibatalkan demi memenuhi undangan Khai yang mahu mengadakan pertemuan ringkas pada petang itu. Akhirnya, di sinilah mereka, memeriahkan lagi rumah Khai dengan gelak ketawa.
"Sedapnya pancake ni! Siapa buat?" soal Kim ingin tahu.
"Siapa lagi, Humaira lah!" balas Amira. Pipi Humaira terus bertukar merah apabila semua yang ada di situ memandang ke arahnya.
"Untunglah, father to be makan sedap aje hari-hari!" usik Ben lalu memandang Khai sekilas sebelum kembali menyuap pancake ke dalam mulut.
"Itulah, lepas ni bila dah ada baby mesti tak sudi main skateboard dengan kitaorang dah." Ujar Leo dengan nada pasrah. Semua yang ada di situ tertawa mendengar kata-kata Leo.
"Kandungan berapa bulan dah? Tak sangka aku dah nak jadi Uncle Lee!" sampuk Lee dengan rasa teruja.
"Dah masuk enam bulan lebih. InsyaAllah, beruntung baby dapat uncle uncle yang baik dan kacak belaka ni," balas Khai.
"Dah tahu nak bagi nama apa?" Aizad pula bersuara.
Khai memandang Humaira dengan isyarat supaya gadis itu yang menjawab. "Aira. Nur Aira Madihah."
Khai mengusap perlahan belakang badan isterinya. Dia tahu Humaira pasti teringat pada arwah Aira yang telah meninggalkan mereka tiga tahun yang lalu. Humaira sendiri yang mahu menamakan anak mereka dengan nama Aira. Katanya, walaupun Aira sudah tiada, gadis itu masih wujud dalam hidupnya.
"By the way, sambil kauorang makan dengan selera tu kan, aku nak tanya satu soalan." Ujar Aizad tiba-tiba.
Ben dan rakan-rakannya angkat kening double-jerk. Entah soalan apalah ketua Knight itu nak tanya. Jangan-jangan teka-teki zaman dahulu kala, tak? Siapa tahu, kadang-kadang sikap Aizad yang suka megusik bukan boleh diduga. Kalau boleh setiap masa dia nak tunjuk lawak antarabangsa dia itu.
"Siapa tahu apa kerugian yang paling super duper dasyat bagi seorang Muslim?" soal Aizad serius dengan sekali lafaz.
Soalan daripada Aizad serta merta mengubah suasana di antara mereka menjadi khali. Khai mengurut pelipisnya sambil memikirkan jawapan. Humaira dan Amira juga turut cuba memproses jawapan sambil mengunyah sosej di tangan. Lima jejaka Knight pula menayang riak muka yang pelbagai. Mereka tidak menyangka bahawa Aizad akan bertanya soalan islami begitu.
"Kalau dapat jawab dengan betul, dapat apa?" soal Leo dengan sengihan.
"Hm... we will see," balas Aizad dengan senyuman nakal.
"Okey, aku nak cuba. Kerugian yang paling dasyat bagi seorang Muslim ialah bila dia gunakan nikmat yang Allah bagi untuk melakukan maksiat. Maka rugilah dia sebab tak gunakan harta tersebut ke jalan Allah. Contohnya, orang kaya gunakan duit dia untuk buka kelab malam. Tak ke rugi?" jawab Khai dengan senyuman bangga. Belum apa-apa lagi sudah perasan jawapan yang dia berikan adalah jawapan yang tepat.
Aizad menggelengkan kepala sambil tersenyum. "Betul kata Khai tu. Orang yang salah gunakan nikmat akan rugi. Tapi itu bukan kerugian yang super duper dasyat lagi!"
Khai menggosok belakang kepalanya. Tak apalah, yang penting dia sudah cuba.
"Kauorang mengalah ajelah. Aku nak bagi tahu jawapan ni," Aizad merenung satu persatu wajah di hadapannya.
"Okay shoot." Kata Ben sebagai wakil rakan-rakannya yang lain.
Aizad tersenyum menang. Dia sudah mengagak bahawa tiada yang boleh menjawab dengan betul.
"Baik, jom kita tadabbur Surah al-Hajj ayat 11.
وَمِنَ النَّاسِ مَن يَعْبُدُ اللَّهَ عَلَى حَرْفٍ 
"Dan ada di antara manusia yang menyembah Allah dengan sikap dan pendirian yang tidak tetap..."
Dalam ayat ini Allah guna perkataan حَرْفٍ yang bermaksud lebih kurang 'tepi jurang' atau 'terjuntai'. Dengan kata lain, kedudukannya tak tetap. Ibarat macam pokok batang berjuntai, kejap ke kanan, kejap ke kiri. Senang kata, seseorang yang tak ada pendirian tetap. Siapa orang ini?
فَإِنْ أَصَابَهُ خَيْرٌ اطْمَأَنَّ بِهِ
"...iaitu kalau ia beroleh kebaikan, senanglah hatinya dengan keadaan itu..."
Maksudnya, setiap kali dia dapat nikmat dan kebaikan dia rasa gembira, seronok, bahagia dan syukur. Tetapi,
وَإِنْ أَصَابَتْهُ فِتْنَةٌ انقَلَبَ عَلَى وَجْهِهِ
"...dan kalau pula ia ditimpa fitnah kesusahan, berbaliklah ia semula (kepada kekufurannya)..."
Tetapi bila dia dalam kesusahan, mulalah dia merungut, kata Allah tak adil, ujian terlalu berat, tak tahan dengan kesusahan dan sebagainya.
Jadi melalui ayat ini, Allah nak tegur golongan yang mana bila dia dapat nikmat yang baik, dia akan gembira dan kata Allah sangat adil, ini takdir yang baik, Islam paling best.
Tetapi bila dia dilanda ujian yang berat dan malapetaka yang dasyat, mulalah dia merungut, kata Allah tak adil, persoalkan kenapa Allah uji dia macam ni, kenapa Allah takdirkan dia macam tu, Islam kejam, Islam menindas dan macam-macam lagi.
Kemudian Allah bagitahu yang golongan macam ni adalah,
خَسِرَ الدُّنْيَا وَالْآخِرَةَ
"...rugilah ia dunia dan akhirat..."
Dia rugi dunia dan akhirat sekaligus! Senang kata, muflis tak dapat apa-apa! Bukan itu saja, Allah tambah lagi,
ذَلِكَ هُوَ الْخُسْرَانُ الْمُبِينُ
"...itulah kerugian yang terang nyata..."
Dalam ayat ini, Allah tak guna perkataan خسر (khusr) yang bermakna 'kerugian'. Tetapi Allah guna perkataan خسران (khusran) yang merupakan hiperbola kepada kerugian. Maksudnya kerugian yang tersangatlah dasyat!" Panjang lebar Aizad memberi keterangan. Semua yang ada di situ mendengar dengan khusyuk. Perkongsian Aizad benar-benar menyentuh sekeping hati mereka.
Aizad melihat satu persatu wajah rakan-rakannya. Dia mengukir senyuman lebar. "Pengajarannya, masa kita senang, kita gembira tak ingat dunia. Malah kita rasa Allah Maha adil, bestnya hidup dan banyaknya nikmat kita dapat.
Tetapi bila kita diuji dengan hilang kawan, putus cinta, kematian ibu bapa, kekurangan duit, penyakit kronik dan sebagainya. Lepastu kita mengalah, kata Allah tak adil, merungut dengan ujian, rasa tak nak hidup sehingga kita makin jauh dengan Allah. Sekelip mata semuanya hancur! Sedangkan masa kita senang, kita rasa kitalah manusia paling bahagia di dunia. Tetapi bila diuji sikit, kita terus angkat tangan mengalah.
Golongan inilah yang Allah sebut dalam ayat tersebut, golongan yang super duper rugi di dunia dan akhirat!" Sambung Aizad lagi sekaligus menamatkan perkongsiannya.
Khali. Tiada suara yang berani mencelah. Aizad mencapai gelas minuman lalu meneguk air di dalamnya. Penat juga ya bercakap panjang, kering terasa air liur!
"Come on, guys. Kenapa tiba-tiba senyap aje ni?"
Satu tepukan di bahu Aizad mengejutkan lelaki itu. "Relatable sangat perkongsian kau, Jad. Insaf kejap aku," kata Radz sambil menepuk tangannya kerana kagum.
"Aik, insaf kejap je?" usik Ben.
Radz meletuskan ketawa. "Doakanlah aku dapat taufik dan hidayah."
"Thank you for sharing this wonderful surah. Aku suka bedah surah-surah dalam al-Quran. Atau maksud lain, tadabbur surat cinta Dia. Lain kali kongsi tadabbur surah lain pula tau," kata Khai.
Aizad mengangguk. "No problem. Kata Nabi, sampaikan darinya walau sepotong ayat, kan?"
"Wuu... meremang bula roma aku!" Celah Lee.
"Gempak siot, Jad! Dah boleh jadi imam muda. Cuma makmum je tak ada lagi." Usik Ben.
Aizad menjelir lidah kepada Ben. "Amboi, siapa kata aku tak ada makmum? Memandangkan semua ada kat sini, nah ambil seorang satu!" Beberapa keping kad dikeluarkan disebalik kot yang dipakainya. Mujur tadi dia terus ke rumah Khai dengan berpakaian pejabat yang memudahkan dia untuk menyembunyikan kad itu di dalam kot.
Wajah masing-masing menunjukkan riak hairan setelah mendapat kad itu dari Aizad. Suasana menjadi sunyi untuk seketika ketika mereka mula membaca tulisan yang tertera di atas kad itu.
'WALIMATUL URUS AIZAD & SHAZLEEN'
Aizad terus melompat turun dari pondok apabila melihat perubahan wajah rakan-rakannya. Dari awal dia sudah memasang kekuda untuk melarikan diri jika ada yang berani bertindak di luar kawalan.
"Kau nak kahwin, Jad?!!" Jerit enam jejaka Knight. Serentak dengan itu, wajah Aizad ditikam dengan panahan mata yang tajam daripada rakan-rakan yang menuntut penjelasannya.
Hijrah itu
Tidak dibentang karpet merah
Apatah lagi ditabur bunga
Hanya penuh duri
Dan jalan yang berliku
Pilihan kau cuma satu
Teruskan mujahadah
Sehingga kaki melangkah
Ke dalam syurga nan indah.
-HA


TAMAT

Comments

Popular posts from this blog

FREE PRINTABLE MUTABAAH AMAL

AKU CINTA RAMADHAN!

CERPEN : BAGAIMANA AKHIRNYA AKU JATUH CINTA