HIJRAH BAB 2
"JAD, kau nampak tak apa aku nampak?" Khai menggosok matanya bagaikan tidak percaya apa yang dilihatnya. Selang beberapa meja daripada mereka, kelihatan Humaira sedang tunduk bermain dengan telefon bimbitnya.
"Hah? Ada apa?" Aizad menoleh kebelakang untuk melihat apa yang dimaksudkan oleh Khai. "Apa benda doh?" mata Aizad masih melilar sekitar kafe untuk mencari apa yang dimaksudkan oleh Khai.
"Selang tiga meja dari kita. Hujung sana tu. Muka sebiji macam Humaira, kan?" Khai menunding jarinya ke arah Humaira yang duduk tidak jauh dari meja mereka. Khai mengagak mungkin penampilan Humaira kini yang menjadi punca berakhirnya hubungan di antara Humaira dan Aizad.
"Dia pakai tudung labuh? Gila kolot!" terbeliak biji mata Aizad. Bagaikan tidak percaya itu Humaira. Dia fikir keputusan Humaira yang memutuskan hubungan mereka untuk berubah hanya gurauan gadis itu semata-mata.
Aizad berdiri lalu terus berjalan ke arah meja yang diduduki oleh Humaira. "Hai ustazah," Aizad menarik kerusi di hadapan Humaira lalu terus melabuhkan punggungnya.
Humaira tersentak. Dia terus tunduk memandang lantai. Hatinya bertukar rentak sebaik lelaki itu duduk di hadapannya. Memang tidak dapat dinafikan bahawa dia masih menyayangi lelaki itu namun dia yakin jodoh tanpa bercinta sebelum nikah itu sudah ditentukan oleh Allah.
"Cantik tudung Cik Humaira..." Aizad memegang hujung tudung dibahu Humaira.
Humaira terkejut dengan tindakan Aizad. Spontan dia menolak kerusi yang didudukinya ke belakang. "Jangan sentuh aku!" Humaira memberi amaran. Apa lagi yang lelaki ini mahu? Tidak bolehkah Aizad menghormati keputusannya?
"Eh. Sejak bila aku tak boleh sentuh kau?" soal Aizad tidak puas hati. Dia menarik kerusinya merapati Humaira walaupun terdapat sebuah meja di tengah yang memisahkan mereka.
"Aizad. Kita dah tak ada apa-apa. Kau dah lupa atau buat-buat lupa apa yang aku cakap semalam?" Humaira memeluk tubuhnya sambil cuba menenangkan diri melihat panahan mata Aizad yang bagaikan telah menembus tubuhnya.
"Oh, lupa pula ada orang nak berubah." sindir Aizad sambil memutarkan bebola matanya.
"Kau nak apa Aizad?"
"Aku nak kau balik."
"Kita dah tak ada apa-apa!" Suara Humaira naik satu oktaf. Dia berasa geram dengan sikap keras kepala Aizad.
"Aku tak boleh terima alasan kau. Kau nak berubah, okay go on. Tapi tak akan kita tak boleh berhubung langsung?" ujar Aizad yang masih cuba memujuk Humaira supaya mengubah keputusannya.
"Susah bercakap dengan orang keras kepala macam kau," keluh Humaira. Dia sendiri tidak tahu bagaimana mahu menjelaskan kepada Aizad.
"Tahu tak apa." balas Aizad sinis. Biar Humaira tahu, selagi dia tidak mendapat alasan yang kukuh, dia tidak akan melepaskan gadis itu.
"Aku nak jaga ikhtilat. Dah faham?"
Aizad menggenggam penumbuk. Ikhtilat? Binatang apa pula tu? Aizad masih tidak puas hati. Tak ada alasan lain yang lebih kukuh ke?
"Apa kau buat kat sini Aizad?" celah Aira yang baru tiba sambil membawa sebuah dulang di tangannya.
"Aku nak bincang dengan kawan kau ni. Buat keputusan terburu-buru. Kalau aku ada buat salah, cakap sajalah. Perlu ke sampai putuskan hubungan?" tengking Aizad. Mata birunya mencerlung tajam ke arah Aira. Aira terkedu apabila ditengking sebegitu. Selama ini Aizad dikenali sebagai seorang lelaki yang lemah lembut dan menghormati wanita. Tetapi di hadapannya kini bukan seperti Aizad yang dia kenali.
"Aizad please. Tolong faham aku." rayu Humaira. Sekilas Humaira memandamg ke arah Aira yang kelihatan masih terkejut dengan perubahan sikap Aizad.
"Kau nak suruh aku faham apa?" soal Aizad keras. Wajah polos gadis yang dicintainya itu direnung dengan penuh rasa cinta walaupun hatinya sakit dengan tindakan Humaira. Sungguh, otaknya tidak dapat memproses apa sebenarnya niat Humaira menjauhi dirinya. Di saat ramai wanita yang tergila-gilakannya, Humaira pula cuba membuangnya jauh dari hidup gadis itu.
"Bro, dah lah tu. Malu orang tengok," Khai cuba untuk menghentikan pengtengkaran di antara mereka. Melihat wajah Humaira yang sudah bertukar merah menambahkan lagi rasa serba salah dengan sikap rakan baiknya di khalayak ramai.
Aizad berdiri. Dia terus menolak dulang ditangan Aira dan berlalu pergi bersama Khai. Hatinya berkecamuk. Sukar baginya untuk melepaskan Humaira.
"Err... Maafkan Aizad eh? Dia tengah marah tu. Nah, aku ganti," ujar Khai dengan riak wajah serba salah di atas tindakan kurang ajar sahabatnya sendiri. Sekeping not berwarna oren dihulurkan kepada Aira. Belum sempat Aira ingin membuka mulut untuk menolak pemberian Khai, lelaki itu tergesa-gesa berlalu ingin mengejar Aizad yang sudah jauh kehadapan.
Aira menjatuhkan pandangannya pada lantai. Habis semua makanan dan minuman di dalam dulang itu berselerakan di atas lantai. Humaira menekup muka, menahan tangisan yang ingin terhambur keluar. Aizad tidak pernah bersikap sekasar ini dengannya. Dia cuma mahu Aizad memahami dirinya. Apa yang susah sangat?
"Aira, aku minta maaf. Sebab aku semua jadi macam ni. Kita balik bilik jelah, aku masak. Pukul 2 nanti aku ada kelas," ujar Humaira serba salah.
Aira tersenyum manis. Ditepuk perlahan bahu Humaira. "Tak apalah. Jom, masak sedap-sedap untuk aku," seloroh Aira sambil mengamit Humaira berjalan bersamanya. Mereka terus berjalan meninggalkan kafe.
*********
HUMAIRA berjalan laju ke kelasnya. Tinggal 10 minit lagi sebelum kelas bermula. Sebaik Humaira tiba di kelas, semua orang memandang ke arahnya dari atas ke bawah dengan riak wajah tidak percaya.
Dia berlagak selamba dengan renungan mata-mata daripada rakan sekelasnya. Dia tahu ramai yang tertanya-tanya akan perubahan dirinya. Malah dia juga yakin pasti ada yang tidak suka. Humaira terus duduk ditempatnya. Sementara menunggu Profesor Hafiz masuk, dia mengeluarkan Iphone dari dalam poket jubahnya untuk melihat jika ada pesanan baru.
"Wah! Dah ada ustazah dalam kelas kita ini." Shazleen, musuh Humaira sejak di bangku sekolah menengah menepuk tangan sambil berjalan ke arah meja Humaira. Ramai tahu bahawa mereka sudah lama bermusuhan.
Seisi kelas memandang ke arah mereka. Humaira hanya membisu. Jika dulu, dia selalu menindas kata-kata Shazleen. Tetapi sekarang dia tidak mahu perkara sama berulang lagi. Lebih baik dia berdiam diri daripada melayan perempuan seperti Shazleen. Membazir air liur saja.
"Hai Humaira," tegur Shazleen sekadar ingin berbasa-basi.
"Hmm... Hai Leen," balas Humaira dengan senyuman manis terukir di bibirnya. Rentak jantungnya berdetak lebih laju daripada biasa. Bimbang Shazleen melakukan hal yang memalukan dirinya.
"Aku dengar kau dah putus dengan Aizad? Kenapa? You know what, berita ni tengah hot dekat kolej kita. Yalah, tak ada angin tak ada ribut, tiba-tiba kau putus dengan Aizad." Shazleen duduk di hujung meja Humaira dengan lenggok tubuh yang membuatkan sesiapa sahaja meluat jika melihatnya.
"Kau tahu kan aku..."
"Oh, aku tahu kau nak berubah kan? Tak payah hipokrit sangat lah. Pakaian kau ni, tak dapat tutup pun perangai sebenar kau. Susah-susah je pakai semua ni- jubah, tudung labuh, stokin. Rimas aku tengok!" sindir Shazleen dengan gaya meluat.
Humaira mengukir senyuman walaupun tidak semanis biasa. Hina sangat ke aku sampai semua orang tak suka aku? Hati Humaira tidak dapat menerima hinaan Shazleen terhadap pemakaiannya. "Neraka lagi panas, Leen..."
"Eh, aku tak nak dengar kau ceramah lah. So straight to the point, aku tak nak kau dekat dengan Aizad lagi. Dia milik aku sekarang." Shazleen memberi amaran.
Humaira mengangguk perlahan. Dia tahu ramai yang tergila-gilakan Aizad si mat saleh celup tu. Kaya raya, putih melepak, mata biru. Senang cerita, cukup lah pakej dia menjadi lelaki idaman kolej. Namun tiada apa yang perlu dirisaukan oleh Shazleen. Jika Shazleen tidak memintanya untuk menjauhi Aizad, dia tetap akan menjauhi lelaki itu.
Shazleen terus berlalu ke tempat duduknya sebaik Profesor Hafiz melangkah masuk ke dalam kelas. Sempat dia menunding jari telunjuknya kepada Humaira sebagai tanda amaran agar gadis itu tidak lagi mendekati Aizad.
********
HUJUNG minggu itu, Humaira dan Aira menjalankan usrah di Taman kolej bagi sesiapa yang berminat mendalami ilmu agama. Setakat ini, ahli kumpulannya sudah 30 orang. Dia bersyukur kerana team usrahnya mendapat sambutan baik pelajar-pelajar di kolejnya.
"Assalamualaikum warahmatullah sahabiah semua. Ana, Humaira Safiyyah binti Hamdan. Pelajar jurusan Sains tahun akhir di kolej kita. Memandangkan semua ahli group ini berumur bawah ana, kalian boleh panggil ana Kak Humaira. Ana naqibah group ini merangkap ketua Team Usrah. Seperti yang kalian semua tahu, Team Usrah terdiri daripada tiga group yang dikendalikan oleh tiga orang naqibah iaitu ana, Ukhti Aira dan Ukhti Amira. Syukran kepada yang sudi hadir hari ini. Salam ukhuwah fillah!" Humaira tersenyum gembira sebaik menghabiskan ucapannya. Di bulatan gembira itu, dia dapat rasakan indahnya ukhuwah antara mereka.
Setelah bertaaruf dengan semua ahli, Humaira membenarkan sesiapa sahaja menanyakan apa-apa soalan sebelum usrah dimulakan.
"Akak dah kahwin?" Saidatul terus menanyakan soalan sebaik diberi lampu hijau.
Pecah ketawa mereka yang ada disitu apabila mendengar soalan Saidatul. Humaira tertawa kecil sambil membawa tangannya menekup mulut. Dia mahu mengikut akhlak Rasulullah SAW yang ketawa dengan hanya mempamerkan senyumannya. Humaira cuba merendahkan suaranya daripada mengeluarkan ketawa yang kuat sehingga boleh menarik perhatian orang ramai.
Kerana akhlak itu harus diamalkan agar menjadi contoh kepada orang lain. Siapa tahu di antara ramai-ramai ahli usrahnya itu, ada seorang dua yang mengikuti caranya.
"Akak belum kahwin lagi sayang." jawab Humaira diikuti dengan ketawa ahli-ahli usrahnya.
"Oh, nanti dah nak kahwin jangan lupa jemput kami ya, kak!" usik Saidatul lagi.
Humaira mengangguk sambil menayang senyuman manisnya. "Sudahlah. Ana takut kalian semua makin merepek jadi mari kita mulakan usrah sekarang ya. Okey tajuk usrah hari ini adalah IKHTILAT. Siapa tahu ikhtilat tu apa?"
Seorang gadis berkaca mata mengangkat tangan. Humaira senyum lalu memberi isyarat supaya gadis itu meneruskan kata-katanya. "Ikhtilat ialah batas pergaulan antara lelaki dan perempuan. Betul tak Kak Humaira?"
Humaira mengangguk.
"Betul sayang. Pandai adik akak. Okey akak nak tanya, siapa kat sini couple?" Humaira merenung setiap ahli usrahnya. Semua menundukkan kepala memandang rumput.
Humaira menggeleng sambil tersenyum melihat wajah anak-anak usrahnya.
"Tidak mengapa akak faham. Kalian tahu apa hukum couple?"
Mereka menggeleng. "Tak salah pun couple..." ujar Humaira sambil menanti reaksi ahli usrahnya.
Ada di antara ahli usrahnya saling berpandangan malah ada juga yang senang mendengar jawapan Humaira. Mungkin mereka lega kerana jawapan Humaira telah menghalalkan perbuatan mereka.
Humaira tertawa kecil melihat reaksi ahli usrahnya yang pelbagai. Kemudian Humaira menyambung, "Couple maksudnya berpasangan. Jadi betullah ana cakap, berpasangan tak salah. Suami isteri juga dipanggil couple, bukan? Yang salah bila kita couple sebelum nikah kerana sudah jelas haram sebagaimana perintah Allah dalam Surah al-Isra' ayat 32."
Kelihatan ada ahli yang terkejut. Geram pun ada apabila menyedari Humaira trick mereka menggunakan perkataan 'couple'. Jika difikirkan dengan logik betul juga. Couple maksudnya berpasangan. Jadi pasangan suami isteri semestinya dibolehkan kerana mereka telah sah bernikah.
"Kenapa pula haram kak? Kalau tak pegang-pegang pun haram ke?" Ain, ahli bertudung pendek mengangkat tangan. Jelas riak wajahnya tidak puas hati dengan kata-kata Humaira.
Humaira masih mengukir senyuman walaupun dia melihat ada beberapa ahli usrah tidak lagi seceria tadi. Dari situ Humaira dapat mengagak bahawa ada di antara mereka sedang bercinta sebelum nikah. Humaira tidak berhak untuk menghukum atau menghalau mereka keluar dari bulatan gembira(usrah) itu hanya kerana mereka tidak sebaik orang lain. Usrah itu sendiri maknanya keluarga. Maka semua ahli usrah harus dilayan sama rata kerana semua manusia di dunia ini adalah pendosa. Semua orang layak menyertai usrah, tiada yang terkecuali.
"Couple haram kerana ia termasuk dalam zina. Seperti yang Allah sebut dalam Alquran, 'Wa La taqrabu zina. Innahu kana faahisyatan wasaan sabiila.' Surah Al Isra' ayat 32.
Yang bermaksud: Dan janganlah kamu menghampiri zina. Sesungguhnya ia perbuatan yang keji dan satu jalan yang buruk." Jelas Humaira.
Semua ahli mengangguk tanda mengerti. Ada yang mula menundukkan kepala apabila Humaira mengeluarkan ayat al-Quran bagi mengharamkan perbuatan mereka. Mereka tidak dapat menafikan al-Quran yang diturunkan oleh Allah SWT. Semuanya sudah jelas bahawa selama ini mereka yang kurang ilmu agama, maka dakwah adalah cara untuk mentarbiah orang-orang yang cetek ilmu agamanya. Tidak perlu menghukum kerana tidak semua manusia lahir dalam keluarga yang mengamalkan agama Islam dalam kehidupan seharian.
"Ikhtilat tak boleh kecuali ada hajat dan darurat. Kita tak boleh bercakap atau chat dengan ajnabi kalau tak ada perkara penting. Contoh hajat ialah atas urusan jual beli atau majikan dan pekerja. Contoh darurat pula jika ada orang lemas dekat laut. Tak kan kita nak tengok je sambil makan popcorn dengan alasan sebab nak jaga ikhtilat. Tak boleh macam tu. Jadi, ada soalan?" Sambung Humaira lagi. Wajah ahli usrahnya diperhatikan satu-persatu.
Seorang gadis berkaca mata dan bertudung bawal mengangkat tangan. Wajahnya serius, tiada senyuman yang tercalit di bibirnya. "Silakan Fatihah,"
"Berdasarkan ayat yang akak sebutkan tadi, saya dapati tiada perkataan haram pun. Malah tiada juga disebut tentang ikhtilat. Jadi bagaimana akak boleh kata couple itu haram berdasarkan ayat tersebut?"
Humaira terkedu. Bukan tiada jawapan bagi soalan gadis itu, tetapi Humaira kagum dengan gadis itu kerana berfikiran luas. Betul lah, memang tiada perkataan haram apatah lagi soal ikhtilat.
"Bagus soalan awak tu, Fatihah." Humaira menghadihkan senyuman manis sebelum memberi keterangan lanjut. "Dan janganlah kamu mendekati zina. Sesungguhnya ia perbuatan yang keji dan satu jalan yang buruk. Allah tak kata jangan berzina, tapi Allah kata jangan dekati zina. Maksudnya, dekat pun dah berdosa apatah lagi melakukannya.
Ikhtilat boleh membawa kepada zina. Kalian tahu apakah perkara yang membawa kepada zina?"
Semua menggeleng sambil membetulkan postur tubuh masing-masing. Mereka kelihatan berminat ingin mengetahui apa yang ingin dikatakan oleh Humaira.
"Bak kata pepatah arab, zina ini ada 7 jalan. Dan semua jalan yang mendekati zina ini berdosa yang wajib kita elak dan jauhi!
نظرة, فابتسامة, فسلام, فكلام, فموعد, فالقاء, فالزنا, فالنار
"Pandang-pandang, kemudian senyum -senyum, kemudian memberi salam, kemudian bersembang, kemudian membuat temu janji, kemudian berjumpa, kemudian berzina, kemudian masuk neraka!"
Itulah maksud pepatah arab yang ana maksudkan tadi." Humaira menanti sesiapa untuk bersuara. Melihat semua ahli di hadapannya hanya membisu, Humaira mengajukan soalan lain,
"Kalian nak ana kongsikan hadis pula? Baik, "Pandangan PERTAMA adalah merupakan anak panah beracun yang terlepas dari busur sang iblis. Barangsiapa yang meninggalkannya kerana takut kepada Allah, maka Allah akan gantikannya dengan memberikannya kemanisan IMAN di dalam hatinya..." (Hadis sahih riwayat Hakim)
Di sini jelas bahawa kita wajib menundukkan pandangan daripada memandang perkara yang haram. Jadi kalau dah TERtengok lelaki bukan mahram tu, cepat-cepat tunduk pandangan. Jangan pula kita tengok untuk kali kedua, ketiga sambil memuji, hensemnya mamat tu, kacaknya senior tu!"
Ketawa kesemua ahli di hadapan Humaira meledak. Dalam berasa lucu dengan ayat terakhir Humaira, ada juga yang terasa kerana itulah yang mereka sering lakukan. Biasalah perempuan kalau nampak orang yang diminati, terus hilang kawalan, tak ke?
Humaira turut ketawa, lega kerana dia dapat mengubah suasana yang tegang sebentar tadi kepada suansana yang lebih ceria. Tak adalah rasa kekok nak berkongsi imput yang seterusnya.
"Lega ana bila kalian ketawa. Kalau tadi ana rasa macam nak kena terkam je bila tengok muka serius masing-masing!" seloroh Humaira diikuti gelak tawa mereka sekali lagi.
"Itu sahaja perkongsian ana hari ini. Sekarang ana buka peluang jika ada soalan atau sesiapa yang tak faham bolehlah bertanya ya,"
"Akak, kalau lelaki hantar chat nak tanya fasal agama boleh jawab tak?" Gadis bertudung pendek tadi bertanya lagi.
"Tak perlu. Buat tak tahu je. Selagi boleh cari kaum sejantina, tak perlu lah dia hantar chat pada perempuan. Cuba fikir, mula-mula cakap fasal agama, kemudian tanya hal peribadi, gurau-gurau, couple. Seterusnya? Hah, kalian fikir sendiri lah ya." terang Humaira.
"Jadi, apa pendapat akak tentang teman tapi mesra atau kawan baik di antara lelaki dan perempuan?" soal gadis berbaju kurung.
"Sayang semua, tiada istilah kawan baik di antara lelaki dan perempuan. Ukhuwah fillah antara lelaki dan perempuan adalah apabila kedua-duanya menjaga batas pergaulan yang telah ditetapkan oleh Islam. Islam menjaga hati kita daripada harapan palsu dan disakiti oleh lelaki dengan menjaga ikhtilat. Jelas tak?"
"Jelas!!" jawab mereka serentak sambil menganguk faham.
"Alhamdulillah. Okey itu sahaja untuk hari ini. Jumpa minggu depan ya. Kita tutup majlis kita dengan tasbih kafarah dan surah al Asr."
*********
USAI solat, Humaira mencapai al-Quran hijaunya. Baru sahaja ingin membaca basmalah, daun pintu biliknya ditolak perlahan.
"Assalamualaikum Humaira." Aira masuk ke dalam bilik dalam keadaan tercungap-cungap.
"Waalaikumussalam. Aira, kenapa ni?" Dahi Humaira berkerut melihat wajah Aira yang risau. Aira tunduk melutut di hadapan Humaira sebelum membuka bicara. Jantung Humaira mula bertukar rentak, risau jika ada berita buruk yang bakal dia dengar.
"Humaira, aku harap kau boleh bersabar. Nah,"
Comments
Post a Comment