HIJRAH BAB 15
SUASANA di meja makan pada malam itu hanya bertemankan bunyi dentingan sudu dan pinggan tanpa kedengaran celoteh Alia mahupun Aizad. Dato Zikri menghantar isyarat mata kepada Datin Zahra. Mereka saling berbalas pandangan kerana masing-masing tidak berani membuka bicara apabila melihat riak wajah tidak mesra yang ditayang Aizad. Dahi Alia berkerut melihat telatah papa dan mamanya yang kelihatan takut benar untuk menegur Aizad. Alia melirik ke arah Aizad yang kelihatan sangat berselera mengunyah nasi berlauk masak lemak cili api kegemarannya.
Aizad menghentikan suapan ke mulut. Dia menghabiskan kunyahan terakhir sebelum kepalanya diangkat untuk melihat Dato Zikri dan Datin Zahra yang sedang berbisik antara satu sama lain. "Papa dan mama nampak macam ada sesuatu nak bagitahu Jad." Soal Aizad, sengaja dia ingin menguji kejujuran pasangan itu. Dia masih menunggu mereka berdua atau Alia menceritakan perkara sebenar yang berlaku kepadanya sebelum kemalangan yang menimpanya. Tetapi malangnya tiada siapa ingin membuka mulut. Dia sudah malas mahu menunggu lagi.
Datin Zahra memandang Dato Zikri sebagai isyarat supaya suaminya menjawab pertanyaan Aizad. Dato Zikri berdeham sebelum dia bersuara, "Macam mana ingatan Jad sekarang? Ada ingat apa-apa tak?"
Aizad tersenyum sinis. Dia tahu mereka masih ingin berahsia dengannya. Apa yang susah sangat untuk bagitahu perkara sebenar? Dia sudah lama menunggu seperti orang bodoh! "Jad masih tak ingat apa-apa." Bohongnya. Dia sudah mengingati beberapa peristiwa melalui mimpi yang sering dialaminya. Dia yakin mimpi itu bukan sekadar mainan tidur. Tetapi dia tidak akan mengaku sehingga ada di antara mereka yang menceritakan perkara sebenar.
"Papa harap Jad bersabar. InsyaAllah ingatan Jad akan pulih tak lama lagi." Ujar Dato Zikri.
Aizad menghela nafas berat. "Dari awal Jad sedar dari koma sampai sekarang, itu je papa boleh cakap. Tidak lama lagi yang papa maksudkan itu bila? Tahun depan? 5 tahun lagi? Entah-entah sampai papa dan mama dah mati pun Jad tak dapat ingat apa-apa!"
"Aizad!" Dato Zikri menghentak meja makan. Lelaki itu mengetap gigi menahan amarah. Ringan terasa tangannya untuk menampar mulut celupar si anak. Mujur kesabarannya masih tersisa.
Bibir Aizad masih mengukir senyuman sinis. Tiada sedikit pun rasa serba salah yang terbuku di hatinya. "Salah ke apa Jad cakap? Papa, mama, dan Alia tak bantu langsung untuk Jad dapatkan ingatan Jad balik. Jad cuma kena ulang-alik buat rawatan dengan doktor tapi keluarga sendiri langsung tak membantu! Betul ke Jad ini anak papa dan mama?" Kasar mulut itu melontarkan soalan kepada ibu dan bapanya sendiri. Matanya mencerlung tajam ke arah wajah papa dan mamanya yang sudah berubah riak.
"Aizad, kami dah cuba bantu kamu dengan beri sokongan..."
"Heh, sokongan macam mana yang mama maksudkan? Dengan merahsiakan sesuatu daripada Jad, itu ke bentuk sokongan yang efektif korang boleh bagi?" Aizad memotong bicara Datin Zahra.
Dato Zikri dan Datin Zahra terdiam. Alia apatah lagi, dia tidak berani untuk bersuara walaupun panas terasa hatinya melihat Aizad yang sangat kurang ajar. "Kenapa semua diam? Sebab apa yang Jad cakapkan tadi betul,kan? Hei, jawablah tak akan semua dah jadi bisu!" Pekik Aizad yang sudah hilang sabar. Tangannya melepaskan sudu dan garfu ke dalam pinggan sehingga menghasilkan bunyi dentingan yang kuat.
"Abang, jangan biadap!" sampuk Alia dengan nada yang tinggi. Seteruk manapun Aizad sebelum lelaki itu berhijrah dahulu, Aizad tidak pernah meninggikan suara kepada papa dan mama. Amnesia benar-benar mengubah Aizad menjadi individu yang sangat berbeza.
"Ah, kau pun sama! Cuba cakap apa bantuan yang kau dah bagi pada aku? Kau tak habis-habis suruh aku berkawan dengan budak miskin si Khai itu! Siapa sebenarnya dia? Jangan-jangan dia manusia yang paling aku benci dulu. Korang semua memang tak guna lah! Aku nak keluar!" Aizad menolak kerusi meja makan sehingga terjatuh ke belakang. Dia melangkah pantas ke pintu utama. Sneakers dikeluarkan dari almari kasut. Beberapa saat kemudian kedengaran ngauman enjin kereta keluar dari perkarangan rumah banglo itu.
Datin Zahra yang menangis dipujuk oleh Alia. Dato Zikri tidak berganjak dari tempat duduknya. Dia benar-benar marah dengan sikap Aizad sebentar tadi. Dia nekad untuk tidak memujuk Aizad pulang semula ke rumah. Biar waktu yang menentukan semuanya. Apabila Aizad sudah mendapat kembali ingatannya, dia pasti akan pulang ke rumah. Pergilah, Aizad. Kamu tak akan faham kenapa kami rahsiakan perkara sebenar daripada kamu.
*****
"Abang Khai, tolong Alia cari abang Jad. Dah 3 hari dia tak balik rumah. Alia merayu sangat pada abang. Kami semua risaukan dia!"
Terngiang-ngiang suara cemas Alia di telinganya. Semalam gadis itu menghubunginya untuk meminta bantuan dia mencari Aizad. Buntu Khai memikirkan ke mana sahabatnya itu telah pergi. Puas dia mencari Aizad sejak semalam. Sudahlah dia sibuk menguruskan persiapan akhir untuk perkahwinannya dua hari lagi. Sekarang kena cari orang yang lari dari rumah. Kenapalah tak matang sangat pemikiran kau itu, Aizad?
Puas juga Khai menghubungi lelaki itu. Malangnya, semua panggilannya memasuki peti simpanan suara. Sungguh Khai sudah kekeringan idea. Semua tempat kegemaran lelaki itu telah dia kunjungi tetapi Aizad tiada di sana. Berdasarkan apa yang diceritakan oleh Alia, Aizad mengamuk kerana menyangka ahli keluarganya merahsiakan sesuatu daripada pegetahuannya. Tidak pelik lah jika lelaki itu memilih untuk keluar rumah. Bagi Khai, Aizad berhak tahu apa yang sedang berlaku termasuk tentang perkahwinan Khai dengan Humaira. Namun Khai menghormati keputusan kedua ibu bapa Aizad untuk merahsiakan semua perkara. Mereka bimbang jika Aizad tidak dapat menerima kenyataan bahawa yang dipilih oleh Humaira adalah Khai, bukan dirinya. Tidakkah lelaki itu akan lebih sakit hati apabila ingatannya sudah kembali nanti? Atau apa pula reaksinya nanti jika dia dapat tahu dari orang lain?
Khai merehatkan kepala di stereng kereta. Dia berhenti berehat di puncak bukit jauh dari hiruk pikuk bandar setelah hampir dua jam mencari Aizad. Matanya dipejam rapat. Dia teringatkan Humaira. Tidak semena-mena Khai tersenyum sendiri. Sungguh dia masih tak sangka gadis itu akan menjadi miliknya. Dia sangat bersyukur kerana keputusannya untuk berhijrah dan semakin dekat dengan Allah telah memberikan dia kehidupan yang sangat baik. Nikmat yang tidak putus, bakal isteri yang solehah, sahabat usrah yang soleh dan kemanisan iman yang luar biasa. Tapi dirinya diselebungi rasa bersalah terhadap Aizad. Di saat dia sedang bergembira dengan kehidupannya sekarang, Aizad pula sedang bertarung dengan dirinya sendiri. Berdosakah dia kerana bergembira di atas penderitaan Aizad? Patutkah dia mengalah demi kebahagiaan sahabatnya itu? Mengalah dengan menyerahkan Humaira kepada Aizad. Patutkah?
"Kau fikir Humaira itu barang mainan yang boleh sesuka hati kau berikan kepada orang lain? Jangan jadi bodoh, Khai!" Tegas kata hatinya. Kali ini hati tidak bersetuju dengan apa yang akal fikirkan. Astargfirullah, Khai. Apa yang terjadi pada Aizad bukan salah kau atau sesiapa. Setiap orang Allah telah berikan ujian yang berlainan. Aizad mesti hadapi ujiannya, kau pula hadapi apa yang sudah terbentang di hadapan mata. Khai bermonolog dengan diri sendiri.
Betul, dia tak perlu mengalah apa-apa yang akan menjadi miliknya kepada Aizad. Lelaki itu hanya memerlukan doa dan sokongannya. Aizad adalah sahabatnya. Dia tak akan berputus asa dengan lelaki itu. Untuk melengkapkan kebahagiaan hidupnya, Khai perlu menolong Aizad. Kebahagiaan Aizad merupakan kebahagiaannya juga. Dia tak akan biarkan Aizad terkapai-kapai sendiri. Lelaki itu memerlukan dahan untuk berpaut sebelum dia lemas dalam dunia barunya.
Khai tersedar dari lamunan yang panjang apabila telefon bimbitnya menjerit minta diangkat. Terkejut Khai apabila melihat ada dua panggilan yang tidak dijawab sejak tadi. Nama Humaira tertera di skrin. Pantas jarinya manatal butang hijau ke kanan. "Assalamualaikum Khai..." Suara gadis itu mencecah gegendang telinga.
Khai membetulkan duduknya. Akhirnya dia berpeluang mendengar suara Humaira setelah hampir sebulan mereka tidak berhubung kerana ingin menjaga hati masing-masing. "Waalaikumussalam. Ya ada apa Mai? Sorry Khai baru perasaan ada missed call. Mai call ni sebab miss me eh?"
Di hujung talian Humaira sudah menepuk dahi sendiri. Geram betul dia dengan mamat seorang ni. Ada sahaja ulah dia nak menyakat orang. "Jangan panggil aku Mai dan berhenti bahasakan diri kau Khai. Geli la aku dengar!" marah Humaira.
Khai meletuskan tawa. Perubahan status mereka sebagai tunang tidak merubah sikap tegas dan kasar Humaira terhadapnya. Gadis itu tetap tidak mahu menukar panggilan yang lebih baik antara mereka. Jika diajak bergurau pun gadis itu sekadar melayan acuh tidak acuh. Barangkali Humaira mahu menjaga batas selagi akad tidak menyatukan mereka. Sebenarnya Khai tidak kisah pun. Talian pertunangan bukan tiket untuk mereka bermesraan. Anehnya, jarang sekali Humaira ingin menelefonnya. Jika tiada hal penting jangan haraplah dia nak telefon Khai.
"Iyalah, aku gurau je. Serius sangat la kau ni!" tempelak Khai.
"Tak payah nak bergurau sangat. Kau kat mana ni?"
Khai tidak segera menjawab. Tak akan dia nak mengaku tengah cari Aizad, kot. "Kat luar ni. Baru lepas hantar kad undangan dekat kawan-kawan." Balas Khai jujur. Kira jujurlah tu sebab Khai memang ada berjumpa kawan-kawannya sambil mencari Aizad.
"Majlis lagi dua hari dan kau baru nak bagi dorang? Kawan jenis apa kau ni?" sindir Humaira. Khai tersengih walaupun tidak dapat dilihat oleh Humaira. Amboi, cik kak. Kasarnya bahasa. Kalau dah jadi isteri aku ni terus aku cabai mulut tu! Tapi Khai tahu Humaira bukanlah gadis yang kasar. Sikap yang ditunjukkan oleh Humaira kepada Khai bukanlah diri dia yang sebenar. Khai yakin gadis itu cuma mahu mengujinya. Lagi pula sebelum ini Humaira ada juga bergurau kasar. Khai dah terbiasa.
"Ramai kawan-kawan aku bekerja di negeri lain. Kebetulan ada yang sedang bercuti jadi aku ajaklah. Ada benda penting ke kau call aku ni?" soal Khai kembali kepada niat asal dia mengangkat panggilan Humaira. Kalau boleh dia tidak mahu berlama-lama bercakap dengan gadis itu. Ada batas yang perlu dijaga.
"Aku dah lupa nak cakap apa. Nanti aku whatsapp bila dah ingat. Okey bye assalamualaikum!" Talian terus dimatikan. Khai terkedu. Skrin telefon yang kembali memaparkan halaman utama ditenung kosong. Aduhai, susahnya nak faham seorang perempuan. Complicated sungguh!
Pada masa yang sama Humaira menahan malu yang menyapa. Sebenarnya dia tak lupa cuma dia malu nak cakap. Pada mulanya dia dapat atasi rasa malu itu jadi dia hubungi Khai untuk berterus terang. Alih-alih tak berani nak cakap juga. Akhirnya Humaira mengambil keputusan untuk meminta bantuan mama walaupun wanita itu menyuruh dirinya sendiri memberitahu perkara itu kepada Khai.
Khai merenggangkan badan yang terasa lenguh. Dua jam ke sana ke mari tipulah kalau kata tak penat. Enjin kereta kembali dihidupkan. Setelah beberapa minit memanaskan enjin, Khai ingin bergerak untuk pulang ke rumah. Baru sahaja ingin menekan pedal minyak, bunyi mesej masuk menghentikan perbuatannya. Whatsapp daripada bakal ibu mertuanya dibuka.
"Assalamualaikum maaf kalau aunty mengganggu kamu. Aunty cuma nak bagitahu yang Humaira kena beli baju yang lain sebab baju yang dia tempah awal tu dah tak muat. Selama sebulan ni dia makan banyak sampai berat naik. Aunty harap kamu tak keberatan." -Ibu Sofia
Usai membaca pesanan itu, Khai menghamburkan ketawa besar. "Hahahahahaha! Ini ke benda yang dia nak cakap tapi lupa tu? Allahu, comelnya lahai perangai budak ni!" Berair mata Khai kerana terlalu banyak ketawa. Terhibur betul hatinya. Terasa hilang penat sehingga lupa akan masalah tentang Aizad.
TBC
OKEY SIAPA RASA NAK TAMPAR AIZAD? XD 1 atau 2 chappy lagi. Tunggu tau. Muslimah jemput follow ig lys @hanisalysa :)
Comments
Post a Comment